Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Angsana, Johor Bahru.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan tiga langkah strategik bagi memperkukuh dan mentransformasikan sektor permuziuman negara agar terus relevan serta berdaya saing seiring perkembangan teknologi dan kehendak semasa.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, langkah tersebut melibatkan pengenalan Geran Padanan Muzium, penggubalan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM) serta pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya.

Menurutnya, ketiga-tiga inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan memperkasakan institusi muzium sebagai wadah pendidikan, pemeliharaan warisan, pembangunan modal insan dan pembinaan negara bangsa.

“Dalam landskap global yang dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan dan pendigitalan, institusi muzium perlu terus beradaptasi dengan kehendak semasa melalui pendekatan penyampaian yang lebih interaktif, penggunaan teknologi digital dan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Dataran Angsana, Johor Bahru, Johor hari ini.

Aaron berkata, Geran Padanan Muzium yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2026 merupakan inisiatif julung kali dilaksanakan bagi memperkasa pembangunan sektor permuziuman melalui projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, pendigitalan muzium, penyediaan ruang pendidikan serta pelaksanaan program permuziuman yang lebih inklusif dan berorientasikan komuniti.

“Selain itu, Jemaah Menteri telah meluluskan secara dasar cadangan penggubalan RUUMM pada 29 April lalu yang bakal menjadi undang-undang Persekutuan pertama menyediakan kerangka perundangan khusus bagi mengawal selia penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pemeliharaan muzium serta koleksi negara secara lebih sistematik dan mampan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya yang dirancang sejak 1989 bagi memperkukuh pemeliharaan dan pendidikan berkaitan biodiversiti serta warisan alam semula jadi negara.

Menurutnya, sehingga kini Muzium Alam Semula Jadi menyimpan 76,666 spesimen meliputi 73,934 koleksi zoologi, 2,075 koleksi botani dan 657 koleksi geologi yang mempunyai nilai saintifik tinggi serta menjadi sumber rujukan penting untuk penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan warisan alam negara.

Dalam pada itu, Aaron berkata, sambutan Hari Muzium Antarabangsa tahun ini bertemakan Museums Uniting a Divided World yang dilihat bertepatan dengan cabaran global masa kini termasuk polarisasi sosial, konflik geopolitik dan jurang antara komuniti.

Katanya, muzium bukan sekadar tempat menyimpan koleksi sejarah malah berfungsi sebagai penghubung masyarakat serta platform dialog antara budaya yang membantu membina persefahaman dan menghormati kepelbagaian.

Festival berkenaan yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Johor melalui Warisan Negeri Johor turut mencatat sejarah tersendiri apabila menandakan ulang tahun ke-30 sambutan Hari Muzium Antarabangsa di Malaysia sejak mula diraikan pada 1997. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast