Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dattuk Seri Ramanan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 42,807 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan di seluruh negara bermula Januari hingga 12 Jun lalu berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penutupan perniagaan dan pengecilan syarikat dikenal pasti sebagai punca utama pemberhentian pekerja iaitu melibatkan 17,485 orang atau 40.85 peratus.

“Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan sebanyak 30 peratus atau 12,844 orang, diikuti Selangor sebanyak 12,360 orang dan Johor yang merekodkan kadar kehilangan pekerjaan 8.1 peratus atau 3,468 orang,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ramanan menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai sejauh mana faktor automasi dan kecerdasan buatan (AI) mempengaruhi trend penutupan dan pengecilan syarikat di Lembah Klang yang menyumbang majoriti kes kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini.

Ramanan memberitahu, AI bukan ancaman kepada pekerjaan pada masa ini, sebaliknya tenaga kerja perlu dipersiapkan dengan kemahiran berkaitan AI supaya tidak ketinggalan apabila teknologi itu menjadi keperluan pada masa hadapan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), beliau berkata, tanggapan bahawa AI menjadi punca utama kehilangan pekerjaan adalah tidak tepat kerana data menunjukkan pemberhentian pekerja lebih banyak berpunca daripada penutupan perniagaan, skim pemisahan sukarela (VSS) dan pengecilan tenaga kerja.

Beliau berkata, pasaran pekerjaan negara masih menunjukkan permintaan tenaga kerja yang tinggi apabila sebanyak 605,168 kekosongan jawatan diiklankan menerusi portal MYFutureJobs sejak Januari lepas, berbanding 188,062 pencari kerja, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, Ramanan berkata, kajian TalentCorp mendapati kira-kira 697,000 pekerjaan berisiko terkesan oleh perkembangan teknologi dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang jika pekerja tidak meningkatkan kemahiran mereka.

Sehubungan itu, KESUMA melaksanakan pelbagai program peningkatan dan latihan semula kemahiran, termasuk Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) dan Akademi Dalam Industri (ADI), selain menyediakan platform MyMAHIR.my dan program MyMahir SkillsLab yang merangkumi modul AI bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan keperluan masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast