KUALA LUMPUR – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah baharu apabila disenaraikan dalam kelompok lima universiti terbaik dunia bagi impak kelestarian menerusi Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 yang diumumkan di Jakarta, Indonesia.
USM melonjak sembilan anak tangga daripada kedudukan ke-14 dunia tahun lalu kepada kedudukan kelima dunia tahun ini, sekali gus menempatkan universiti itu dalam kelompok elit daripada 1,603 institusi pengajian tinggi yang dinilai di seluruh dunia.
Pencapaian itu turut mengukuhkan kedudukan USM sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam penarafan berkenaan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan universiti tersebut dalam menerajui agenda pembangunan mampan di peringkat global.
Lebih membanggakan, USM berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu dunia bagi Sustainable Development Goal (SDG) 17: Partnerships for the Goals, yang mengiktiraf kecemerlangan institusi dalam membangunkan kerjasama strategik bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kejayaan itu mencerminkan kekuatan USM dalam membina ekosistem perkongsian yang melibatkan agensi kerajaan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti, institusi pendidikan tinggi dan organisasi antarabangsa.
Selain SDG 17 yang menjadi komponen wajib dalam penilaian keseluruhan, kedudukan USM turut diperkukuhkan menerusi prestasi cemerlang dalam tiga matlamat pembangunan mampan lain iaitu SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).
Naib Canselor USM, Profesor DatUK Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha berterusan seluruh warga universiti dalam mengintegrasikan prinsip kelestarian ke dalam setiap aspek pengurusan dan operasi institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan ekosistem kelestarian USM yang menyeluruh dan bersepadu.
“Ia bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi universiti di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan institusi pendidikan tinggi Malaysia untuk memimpin agenda pembangunan mampan global melalui ilmu, inovasi, perkongsian strategik dan penyelesaian yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan itu juga selari dengan aspirasi USM untuk terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti yang memimpin transformasi pendidikan tinggi ke arah masa depan yang lebih lestari.
THE Sustainability Impact Ratings merupakan penarafan antarabangsa yang menilai sumbangan universiti terhadap pencapaian 17 SDGs PBB menerusi aspek tadbir urus, pendidikan, penyelidikan, operasi dan penglibatan masyarakat. – MalaysiaGazette















