Istiadat menghadap oleh Dato Lembaga Luak Rembau.

KUALA LUMPUR – Hassan Abdul Hamid telah dipilih sebagai sebagai Undang Luak Rembau yang ke-22 dalam satu istiadat di Negeri Sembilan hari ini.

Ia mendapat restu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

“Dalam kerapatan yang diadakan oleh anak buah Kampung Tanjung itu, Kampung Tanjung, melalui ibu soko dan warisnya, telah memilih Tuan Haji Hassan bin Abdul Hamid sebagai Undang Luak Rembau yang ke-22, insya-Allah.

“Dalam istiadat tadi, kami telah memohon perkenan Duli Yang Amat Mulia Tuanku, melalui anakanda baginda Yang Amat Mulia Tunku Ali, untuk diadakan satu majlis menjunjung kasih,” kata kenyataan wakil-wakil adat Luak Rembau hari ini.

Menurut kenyataan, pihak tuanku telah memperkenankan majlis itu diadakan pada hari Sabtu ini, 27 Jun 2026 di Istana Besar Seri Menanti.

Dalam istiadat yang berlangsung hari ini, pihak Adat Luak Rembau iaitu kerabat buapak dan ibu soko telah mengadakan kerapatan.

Dalam kerapatan itu, sebanyak dua kali, Kampung Tanjung telah dipilih sebagai lubuk benih, iaitu kampung yang akan menzahirkan Undang Luak Rembau yang ke-22.

Setelah pemilihan Kampung Tanjung sebagai lubuk benih itu diisytiharkan oleh buapak lapan kampung, Kampung Tanjung pula mengadakan kerapatan dalam sukunya sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast