Foto: Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan susulan kejadian seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang ditemukan lemas di Kajang, semalam.

JPN Selangor dalam satu kenyataan hari ini turut memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.

Menurutnya, JPN Selangor sedang menguruskan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mendiang serta memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah yang terkesan diberi perhatian.

“JPN Selangor sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.40 petang.

Menurut beliau, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 5.55 petang kira-kira 150 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Naazron berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast