Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Datuk Mohd Puad Zarkashi supaya tidak melupakan jasa UMNO terhadapnya sambil menegaskan parti itu bukan sebuah ‘parti anak-beranak’ yang memilih calon berdasarkan hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata, keputusan Mohd Puad meninggalkan UMNO selepas tidak berpuas hati dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar dihormati.

Namun katanya, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu juga perlu mengiktiraf segala peluang dan kepercayaan yang pernah diberikan parti kepadanya.

Dalam masa sama, beliau berterima kasih atas sumbangan Mohd Puad kepada UMNO, namun percaya jasa parti terhadap pemimpin veteran itu jauh lebih besar.

“Datuk Puad pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Speaker DUN Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua Pengarah JASA.

“Saya percaya kalau tidak kerana UMNO, Datuk Puad mungkin tidak akan memegang semua jawatan itu.

“Tetapi tidak mengapa, kita tetap hormati jasa dan keputusan beliau,” katanya menerusi platform media sosial hari ini.

Mengulas kenyataan Mohd Puad berhubung UMNO Johor kononnya tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda, Dr Muhamad Akmal mempersoalkan asas dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini, Mohd Puad sendiri pernah mencadangkan supaya lebih ramai calon berusia bawah 50 tahun diketengahkan, namun bagi PRN Johor kali ini BN mempertaruhkan seramai 13 calon berusia bawah 40 tahun.

“Ini semua orang muda. Jadi saya nak tanya, aspirasi orang muda yang macam mana lagi Datuk Puad mahukan?” soalnya.

Beliau turut mendakwa kritikan terhadap UMNO Johor hanya timbul selepas permintaan Mohd Puad supaya anaknya dicalonkan menggantikan beliau di kerusi DUN Rengit tidak dipenuhi.

“Adakah apabila permintaan Datuk Puad supaya anaknya menggantikan beliau tidak diterima, tiba-tiba UMNO Johor dikatakan sudah tidak mempunyai aspirasi untuk orang muda?

“Parti ini bukan parti anak beranak. Ramai lagi orang muda yang ada dan telah kita pilih sebagai calon.

“Kalau anak Datuk tidak dipilih sebagai calon, tidak bermakna UMNO Johor sudah tidak mempunyai aspirasi untuk golongan muda,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan pada PRN Johor sebelum ini, Mohd Puad sendiri bertanding ketika berusia lebih 60 tahun dan mempersoalkan sama ada keadaan itu juga menepati aspirasi golongan muda seperti yang sering diperkatakan.

“Apabila Datuk sendiri bertanding ketika itu, adakah itu menepati aspirasi orang muda? Tetapi apabila permintaan Datuk untuk anak menggantikan Datuk tidak dipenuhi, UMNO pula dikatakan sudah tiada aspirasi untuk orang muda,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut membidas kenyataan Mohd Puad yang didakwa mengaitkan istana Johor dengan proses membuat keputusan dalam UMNO.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan serius terhadap institusi diraja dan memaklumkan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis di seluruh Johor bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Ini bukan perkara main-main. Kalau tuduh institusi raja seperti ini, ia adalah satu tuduhan yang sangat berat.

“Insya-Allah kita akan membuat laporan polis di seluruh Johor supaya pihak polis menyiasat dakwaan Datuk Puad ini,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, beliau sekali lagi menggesa Mohd Puad supaya menjadi contoh yang baik kepada generasi muda serta tidak menyalahkan parti hanya kerana hasrat peribadi tidak dipenuhi.

“Parti ini memberi ruang kepada semua untuk berkarya dan mengasah bakat kepimpinan. Kalau parti tidak dapat menunaikan permintaan atau hasrat Datuk, janganlah tuduh parti ini sudah tidak berguna dan tiada aspirasi untuk orang muda.

“Datuk Puad, berilah contoh yang baik kepada kami orang muda,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

Puad ugut keluar UMNO jika anak tak dicalonkan di DUN Rengit -Asyraf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast