KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tindakan Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi meninggalkan parti bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan istana dalam politik Johor, sebaliknya berkait rapat dengan kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Menurut beliau penyandang Speaker DUN Johor itu pernah menulis kepada beliau dan memberi bayangan akan keluar serta menyerang UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Asyraf mengaku dukacita dengan keputusan Puad untuk meninggalkan UMNO, namun dalam masa sama kesal dengan kenyataan ADUN Rengit itu.
“Namun, saya amat kesal dengan kenyataan berbaur fitnah beliau yang memberikan alasan utama keluar parti dengan mengaitkan kononnya kerana Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.
“Sedangkan beliau sendiri menulis kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan akan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan untuk anak beliau sebagai calon di DUN Rengit,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf berkata, beliau tidak menafikan anak Puad mempunyai potensi dan masa depan yang cerah dalam politik, namun proses pemilihan calon perlu mengambil kira pelbagai faktor serta kepentingan parti secara keseluruhan.
Katanya, tindakan mensyaratkan anak sendiri sebagai calon pengganti di kawasan yang pernah diwakili sebelum ini tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin berpengalaman, apatah lagi sehingga sanggup mengugut untuk meninggalkan parti.
“Sekiranya tidak dipenuhi maka akan keluar parti bahkan tergamak pula mengugut mahu menghentam parti yang banyak jasa dan menaikkan beliau selama ini,” katanya.
Asyraf turut mendakwa, ugutan sedemikian bukan kali pertama dilakukan Puad apabila beliau pernah mengancam untuk keluar UMNO ketika era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak jika tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
“Cukup-cukuplah UMNO ini diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin,” tegasnya.
Beliau menambah, UMNO tidak boleh dijadikan platform untuk memenuhi tuntutan peribadi atau keluarga kerana perjuangan parti itu jauh lebih besar daripada kepentingan mana-mana individu.
Terdahulu, Puad mengumumkan keluar UMNO serta-merta berkuat kuasa hari ini dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan, sebaliknya hanya menjadi “boneka yang terikat”.
Beliau turut mendakwa Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekadar menjadi “pak turut” kepada pihak tertentu. – MalaysiaGazette
















