SHAH ALAM – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berkaitan pengabaian dan menyebabkan kematian puluhan ekor kucing di sebuah unit kediaman di Subang Jaya, Mac lalu.
Tertuduh, Lee Reo Jin, 49, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, Lee didakwa meninggalkan 36 ekor kucing hidup di sebuah unit di Goodyear Court 9, USJ 14, Persiaran Mulia, Subang Jaya dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan akibat kebuluran.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 29(1)(p) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Lee didakwa sebagai pemunya kucing telah menyebabkan 41 ekor kucing yang tidak berupaya mati di alamat yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 29(1)(r) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman sama iaitu denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharif Sabran.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Lee yang memaklumkan beliau bekerja secara bebas (freelance), tidak mempunyai pekerjaan tetap dan masih mengalami masalah kesihatan, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada.
Mahkamah turut menetapkan tempoh sebulan untuk penyerahan dokumen berkaitan kes, manakala 7 Ogos 2026 ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.
Tertuduh hadir ke mahkamah memakai baju-T berwarna coklat berkolar leher bulat, seluar panjang gelap serta berkaca mata. – MalaysiaGazette
















