PARIT SULONG – Rekod perkhidmatan sepanjang lebih empat tahun sebagai wakil rakyat akan menjadi sandaran utama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid, dalam usaha mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Fared berkata, tempoh kempen selepas proses penamaan calon akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperluaskan penyampaian maklumat kepada pengundi mengenai pelbagai inisiatif serta usaha yang telah dilaksanakan sepanjang beliau berkhidmat.
“Pencalonan berjalan dengan baik dan sebagai calon, sudah pasti kita mahu mencapai kemenangan. Namun kemenangan itu hanya akan hadir hasil usaha bersama dengan izin Allah SWT.
“Bagi misi mempertahankan kerusi ini, saya akan menunjukkan rekod kerja sepanjang empat tahun lalu. Apa yang telah dilakukan sudah diketahui ramai, cuma kaedah penyampaian dan penyebarannya perlu dipertingkatkan lagi,” katanya kepada media selepas proses penamaan calon DUN Semerah, hari ini.
Menurut Fared, tanggungjawab membantu rakyat tidak akan terhenti walaupun kempen pilihan raya sedang berlangsung, termasuk menguruskan permohonan bantuan menerusi agensi kerajaan berkaitan.
Katanya, pelaporan masalah rakyat serta urusan bantuan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan diteruskan seperti biasa kerana kebajikan rakyat perlu sentiasa diberi keutamaan.
“Misi saya adalah memastikan rakyat terus terbela walaupun dalam tempoh kempen,” katanya.
Mengulas pertandingan tiga penjuru di DUN Semerah, Fared menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Khuzzan Abu Bakar dan calon Perikatan Nasional (PN), Halim Kepol sebagai individu yang baik serta dikenali ramai di kawasan berkenaan.
Bahkan, beliau yakin kempen pilihan raya di Semerah akan berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang unsur perbalahan.
“Saya boleh beri jaminan bahawa DUN Semerah akan menunjukkan contoh kempen yang harmoni antara ketiga-tiga calon.
“Kami saling mengenali antara satu sama lain dan memahami pentingnya kerjasama serta perpaduan dalam masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata media sosial akan menjadi antara platform utama sepanjang kempen bagi mendekati pengundi selain berkongsi pelbagai aktiviti serta gerak kerja yang telah dilaksanakan.
Menurutnya, jentera BN di kawasan Parit Sulong dan Semerah juga telah lama bersiap siaga bagi menghadapi cabaran pilihan raya.
Mengulas tanggapan bahawa BN mempunyai peluang cerah mengekalkan kerusi berkenaan, Fared menegaskan tiada kemenangan yang boleh dianggap mudah dan setiap cabaran perlu dihadapi dengan kerja keras.
“Dalam politik tidak ada perkara yang mudah. Kita akan terus bekerja keras dan meraikan pesta demokrasi ini dengan penuh tertib serta semangat muafakat.
“Kalah atau menang kita serahkan kepada Allah SWT. Insya-Allah rakyat akan membuat pilihan terbaik demi Johor yang lebih maju menjelang 2030,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















