PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan sejumlah 4,146 buah stesen minyak di seluruh negara bersedia melaksanakan sistem subsidi bersasar BUDI Diesel berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Armizan Mohd Ali berkata, 10 syarikat minyak iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHPetrol, Five, Smart Stream, Xcel, PETROS dan IPTB telah mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing bagi pelaksanaan BUDI Diesel.
Katanya, kementerian komited memastikan pelaksanaan mekanisme tersebut membolehkan rakyat mendapat akses terhadap bantuan subsidi bahan api dengan lancar, selamat dan mesra pengguna.
Menurut beliau, pelaksanaan secara rintis bermula hari ini untuk melihat kestabilan sistem dengan akses awal diberikan kepada para penerima yang layak di stesen-stesen minyak di Semenanjung Malaysia dengan harga runcit RM2.15 seliter.
“ Rakyat Malaysia yang layak akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di stesen-stesen minyak sama ada melalui pengesahan MyKad atau aplikasi digital syarikat,” ujarnya.
Armizan menyatakan demikian pada ‘Program Turun Padang’ sempena pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI Diesel di Stesen Shell Putrajaya Presint 18 di sini, bermula 1 Julai ini.
Beliau turut diberi taklimat tahap persiapan pelaksanaan di peringkat runcit stesen minyak termasuk kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta aspek perkhidmatan mesra pelanggan bagi memastikan kelancaran mekanisme sebaik berkuat kuasa kelak.
Akses awal BUDI Diesel di Semenanjung Malaysia bermula hari ini menyaksikan diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.
Sementara itu, Armizan memaklumkan, Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membincangkan status kemajuan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api melalui mekanisme BUDI Diesel, BUDI95, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Ujarnya, penambahbaikan dilaksanakan terhadap beberapa aspek untuk memastikan maklum balas rakyat disantuni melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan dan kedudukan serta ruang fiskal negara.
Menurut beliau, antara penambahbaikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan bidang kuasa KPDN ialah peluasan penyaluran subsidi diesel kepada para peniaga kecil yang mempunyai kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan/syarikat di bawah kelas/kod kegunaan persendirian perniagaan.
Jelasnya, syarat kelayakan subsidi diesel sebelum ini adalah terhad kepada kenderaan didaftarkan atas nama individu bagi BUDI Diesel dan kenderaan perniagaan/syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas/kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Semalam, kerajaan mengumumkan tiga penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI Diesel bagi memudahkan peralihan menjelang akses awal program itu di Semenanjung Malaysia..
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu dipersetujui selepas kerajaan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama rakyat, peniaga kecil, pemegang taruh dan agensi pelaksana susulan pengumuman pelaksanaan BUDI Diesel pada 22 Jun lalu.
Selain itu, penerima sedia ada BUDI Diesel Individu yang telah menerima bantuan tunai RM400 pada awal bulan ini turut boleh membeli diesel pada harga bersubsidi melalui pengesahan MyKad sepanjang tempoh akses awal.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan melalui portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my. Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal yang sama. – MalaysiaGazette
















