KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Marzuki Mohamad membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa, yang menggambarkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai ‘berjiwa besar’ kerana membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin itu berkata, kenyataan sedemikian seolah-olah merendahkan kedudukan Bersatu sebagai parti komponen PN kerana penggunaan logo gabungan itu adalah hak yang sepatutnya dinikmati semua parti anggota.
“Janganlah berkata begini kepada Bersatu. Nampak ‘condescending’ (merendah-rendahkan orang lain).
“Padahal itu hak Bersatu sebagai parti anggota PN untuk diberikan watikah bertanding menggunakan logo PN dalam pilihan raya. Ia bukan soal berbesar hati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Marzuki berkata, dalam mana-mana gabungan politik, individu yang diberi kuasa menandatangani watikah hanya melaksanakan keputusan yang dipersetujui parti-parti komponen melalui rundingan kerusi.
Lantaran itu, katanya, pemberian watikah kepada calon daripada parti anggota bukanlah satu keistimewaan atau ihsan mana-mana pemimpin.
“Sesiapa sahaja yang diberikan amanah untuk menandatangani watikah bagi sesuatu gabungan parti politik akan mengeluarkan watikah kepada calon-calon daripada parti-parti anggota berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat rundingan kerusi.
“Itu pun kalau orang tak tahu cerita,” katanya.
Malah, Marzuki mendakwa keputusan membenarkan Bersatu bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor hanya berlaku selepas rundingan antara Pas dan Barisan Nasional (BN) gagal mencapai kata sepakat.
“Bagi yang tahu cerita, ini semua ‘afterthought’.
“Watikah diberikan sebab rundingan Pas dengan BN gagal. Kalau rundingan berjaya, tak bertandinglah PN dalam PRN Johor.
“Pengerusi PN tak perlu keluarkan satu watikah pun,” katanya.
Annuar yang juga Ketua Penerangan PN sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Ahmad Samsuri sebagai seorang yang berjiwa besar kerana membenarkan logo PN digunakan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – MalaysiaGazette
















