Calon PH, Dr Maszlee Malik (tengah) beramah mesra dengan calon BN, Teow Chia Ling (kanan), calon MUDA, Rashifah Aljunied (dua kanan), calon bebas, Wang Wee Siong (dua kiri) dan calon Bersama, Nicholas Paul Vincent pada Hari Penamaan Calon bagi N41 Puteri Wangsa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di SMK Taman Dato Onn, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU –  Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik bertekad membawa ‘episod baharu’ kepada Johor dengan menawarkan agenda pembangunan yang lebih seimbang.

Selain itu, beliau turut berikrar untuk menawarkan ekonomi berpendapatan tinggi serta penambahbaikan dalam bidang pendidikan dan kebajikan rakyat.

Maszlee berkata, kemenangan PH di Puteri Wangsa dan seluruh Johor akan membuka lembaran baharu kepada negeri itu yang menurutnya memerlukan perubahan demi manfaat semua lapisan masyarakat.

“Kemenangan Puteri Wangsa dan juga seluruh negeri Johor akan membawa kepada episod baharu di negeri Johor.

“Kita mahu Johor yang membawa kemajuan yang seimbang di seluruh daerah, bukan hanya tertumpu di Johor Selatan.

“Kita mahu setiap pihak menikmati kehidupan yang lebih baik, bukan hanya untuk golongan tertentu tetapi untuk semua,” katanya selepas proses penamaan calon di SMK Taman Dato Onn.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, PH komited meningkatkan ekonomi negeri dengan menarik pelaburan strategik yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor.

Menurutnya, pendekatan itu juga diyakini mampu menggalakkan lebih ramai anak Johor yang kini bekerja di luar negara dan negeri lain untuk kembali berkhidmat di tanah air.

“Kita mahu membawa pelaburan yang benar-benar strategik dengan menawarkan gaji lebih tinggi supaya anak-anak Johor dapat pulang dan bekerja di negeri sendiri, bukan lagi terpaksa mencari rezeki di luar,” ujarnya.

Selain ekonomi, beliau berkata, pendidikan akan terus menjadi antara agenda utama sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor.

Katanya, PH juga mahu memperkukuhkan kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU), yang menurutnya kini mencecah hampir 100,000 orang di Johor, namun masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

Maszlee turut berjanji memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan muda memiliki rumah mampu milik serta memperluaskan penyediaan taska komuniti dan taska di tempat kerja bagi memudahkan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan.

Mengulas strategi meningkatkan peratusan keluar mengundi, beliau berkata, PH akan menggerakkan kempen secara agresif bagi menggalakkan pengundi Johor yang berada di Kuala Lumpur, Singapura dan kawasan lain pulang menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai nanti.

“Kita akan merayu dan memberikan keyakinan kepada mereka agar pulang mengundi kerana mereka bukan sahaja mengundi untuk hari ini, tetapi untuk masa depan mereka, anak cucu dan masa depan negeri Johor.

“Kita mahu Johor bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan supaya lebih banyak pembangunan yang seimbang dan berkualiti dapat dibawa ke negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast