KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM62,500 kepada 125 orang pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, hari ini.
Menerusi program tersebut, setiap pelajar yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan menerima bantuan RM500 secara one-off yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing mulai 1 Julai.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian di IPT.
Majlis penyampaian disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Esrifaridz Subohi; dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Johor, Mazni Ruslan.
Norliza berkata, beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANi dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kecemerlangan.
Tambah beliau, kejayaan yang diraih kelak bukan sahaja membuka peluang kepada pekerjaan yang lebih baik, malah berupaya meningkatkan taraf hidup serta membantu mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa.
“Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang mahupun status sosioekonomi, PTPTN telah melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi seperti program endowment yang membolehkan dana diterima daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, Program Bantuan Lestari Siswa MADANI mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan PTPTN bersama Kerajaan MADANI dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan.
Pendidikan merupakan aset paling berharga dan pelaburan jangka panjang yang memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi serta berdaya saing.
Sepanjang 29 tahun penubuhannya, PTPTN telah menjadi pemangkin kepada kejayaan jutaan pelajar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara. -MalaysiaGazette
















