Menteri Besar Johor yang juga calon BN N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali berbual sesuatu dengan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pangsapuri Bukit Saujana, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang didakwa bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebagai kitar semula adalah mereka yang berpengaruh dan pernah berkhidmat untuk rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini berbeza dengan calon Pakatan Harapan (PH) yang sebenarnya merupakan calon calon kitar semula dan pernah kalah bertanding dan dipindahkan ke kawasan lain.

“Mereka letak calon orang tidak kenal lepas itu menang atau kalah, lari pula letak di tempat lain. Mereka lagi ramai calon ‘recylce’ kerana mereka memang tidak ada niat nak berikan khidmat pada masyarakat sebab itu bertukar-tukar.

“Calon kita, walaupun dikatakan ‘recycle’, tetapi calon-calon itu berpengaruh sebab itu mereka diberikan kepercayaan untuk meneruskan khidmat pada masyarakat.

“Jadi, mana lebih baik untuk rakyat? Calon yang ambil perhatian hal rakyat atau calon yang tukar-tukar dan tidak ikhlas, letak calon untuk menang pilihan raya lepas itu pindah ke tempat lain,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata demikian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra bersama Penduduk Pangsapuri Bukit Saujana di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, P Pannir Selvam.

Nur Jazlan berkata, rakyat perlu melihat tujuan setiap calon itu diletakkan di kawasan masing-masing kerana walaupun calon kitar semula, mereka lebih berpengaruh untuk memberikan khidmat kepada masyarakat dan bukan untuk menipu rakyat semata-mata.

Nur Jazlan tidak mahu rakyat tertipu lagi dan mengingatkan supaya rakyat memilih wakil rakyat dalam kalangan mereka yang akan memberikan perkhidmatan yang betul-betul prihatin kepada masyarakat.

Contohnya ujar beliau di DUN Perling yang meletak calon tempatan dan pernah memberikan khidmat sebagai Ahli Majlis selama 10 tahun dengan azam untuk berkhidmat kepada masyarakat di sini.

“Siapa yang PH dan DAP letak (Perling)? Calon yang kalah dekat Yong Peng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, sekarang bertanding di sini.

“Samalah, ‘kepala’ mereka (DAP), Liew Chin Tong, mana dia pergi? Hilang? Datang ke Perling bertanding pada 2022 untuk cari pencen tambahan. Dia memang terkenal sebagai calon katak, daripada Pulau Pinang ke Kluang lepas itu Ayer Hitam, lepas itu ke tempat selamat di Iskandar Puteri.

“Apa yang berlaku pada Marina Ibrahim (penyandang kerusi DUN Skudai) dah buktikan bahawa DAP ini dia gunakan Marina tujuan dia untuk mengelirukan orang Melayu lepas itu nak dipindahkan ke tempat lain,” jelasnya.

Pada 24 Jun lalu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor mengumumkan senarai 56 calon BN yang bertanding pada PRN Johor Ke-16 ini.

Selepas pengumuman itu dibuat, beberapa pihak membuat dakwaan bahawa senarai calon BN itu kebanyakkannya adalah calon kitar semula termasuk Puad.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast