Rozita Che Wan tidak dapat menahan sebak sebaik anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy selamat bergelar suami.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Rozita Che Wan tidak dapat menahan sebak sebaik anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy selamat bergelar suami kepada pilihan hati, Auni Ikhwan dalam majlis akad nikah yang berlangsung kelmarin.

Pasangan itu dinikahkan wali juga bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim dengan sekali lafaz disaksikan Penolong Pendaftar Nikah & Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud di GlamHall Damansara.

Pada majlis tersebut, Ammar, 30, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 selain wang hantaran berbentuk jongkong emas.

Kedua-dua pihak turut berbalas tujuh dulang hantaran, manakala upacara membatalkan air sembahyang diserikan dengan hadiah cincin berlian 1.8 karat.

Rozita atau mesra dengan panggilan Che Ta menitipkan pesanan penuh makna buat anak dan menantunya agar sentiasa mempertahankan rumah tangga yang dibina.

“Dalam berumah tangga, Ammar dan Auni kenalah sentiasa berpegangan tangan dalam apa juga keadaan. Jangan lepaskan pegangan itu ketika susah atau berdepan kegetiran.

“Kebahagiaan bukan mengenai pasangan yang tidak diuji, tetapi pasangan yang terus bersama walaupun diuji,” katanya ketika memberi ucapan.

Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan sementara Auni bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Sebagai seorang ibu yang pernah melalui kegagalan rumah tangga sebelum kembali mengecapi kebahagiaan, Rozita juga berharap pasangan itu sentiasa bersikap tolak ansur dalam melayari kehidupan sebagai suami isteri.

“Dalam hidup ini, apatah lagi berumah tangga, pasti ada ujian. Apabila usia perkahwinan  semakin lama dan diserikan dengan kehadiran anak, pelbagai ragam serta cabaran akan muncul.

“Perkahwinan bukan seperti menukar pakaian. Akan ada perkara yang tidak diduga tetapi jangan sesekali memilih jalan mudah untuk lari daripada cabaran. Semoga mereka sama-sama mewarnai rumah tangga dengan penuh sakinah, mawadah dan rahmah,” ujarnya.

Mengambil keberkatan 10 Muharam, majlis bertemakan garden wedding itu dihadiri lebih 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga  dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.

Mengulas tema majlis, Che Ta berkata, konsep perkahwinan dalam taman itu dipilih hasil persetujuan kedua-dua keluarga selain mengetengahkan elemen minimalis.

Ammar tampil segak dalam persalinan serba putih rekaan Man Kajang manakala Auni anggun mengenakan busana rona sedondon sentuhan Zaimi Zulkifly.

Majlis turut diserikan dengan kemunculan Ahmad Fedtri Yahya selaku pengerusi majlis, manakala bacaan doa disempurnakan PU Amin.

Terdahulu, Ammar dan Auni mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.

Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan sementara Auni bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Pasangan itu bakal diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City, Shah Alam semalam disusuli majlis bertandang dijadualkan pada 4 Julai depan. – MalaysiaGazette

Konsep perkahwinan dalam taman dipilih Che Ta hasil persetujuan kedua-dua keluarga selain mengetengahkan elemen minimalis.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast