Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan Rabu ini bagi mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Menurut semakan laman web kehakiman, rayuan tersebut akan didengar di Putrajaya selama tiga hari sehingga Jumaat (3 Julai).

Rayuan isteri bekas Perdana Menteri didengar selepas empat tahun Mahkamah Tinggi mensabit dan menghukumnya atas pertuduhan tersebut.

Pada 1 September 2022, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan turut memerintahkan agar Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Prosiding rayuan tersebut tidak didengar sebelum ini ekoran beberapa permohonan Rosmah berkaitan kes solar.

Terbaharu, pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini atas alasan tiada kekhilafan yang berlaku sehingga mewajarkan campur tangan mahkamah.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu pihak media, Rosmah turut memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk menggugurkan hakim berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn, Bhd., Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor sebagai dorongan membantu syarikat itu memperoleh projek solar berkenaan.

Beliau juga didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016 dan RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast