VKK Rajasekaran

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menangguhkan sebarang kelulusan Kabinet terhadap cadangan pelaksanaan Universal Recruitment Advanced Platform (cadangan sistem pengambilan pekerja asing baharu; Turap) sehingga satu kajian impak menyeluruh, libat urus bersama pemain industri selesai dilaksanakan.

Presiden Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI), VKK Rajasekaran Teagarajan berkata, pelaksanaan sistem baharu itu tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia berpotensi menambah kos operasi, meningkatkan beban pematuhan serta memberi kesan besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, komuniti perniagaan India di Malaysia yang banyak terlibat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, peruncitan dan perkhidmatan merupakan antara majikan yang bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Komuniti perniagaan tidak menolak pembaharuan, namun sebarang perubahan dasar perlu disokong dengan bukti, kajian dan rundingan yang telus.

“Kami tidak mahu melihat satu sistem baharu diluluskan sebelum kerajaan sendiri dapat membuktikan keberkesanannya serta menjelaskan kos sebenar yang bakal ditanggung majikan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Rajasekaran, masalah tadbir urus yang menjadi alasan kepada pelaksanaan Turap dipercayai hanya melibatkan laluan pengambilan pekerja dari negara sumber tertentu dan bukannya keseluruhan ekosistem pengambilan pekerja asing.

Sehubungan itu katanya, penyelesaian yang lebih munasabah ialah mewujudkan mekanisme pemantauan khusus terhadap laluan berisiko tersebut, bukannya mengenakan sistem baharu kepada semua majikan tanpa mengira negara sumber pekerja.

“Jika masalah berlaku dalam satu koridor pengambilan tertentu, maka penyelesaiannya juga perlu bersifat khusus.

“Majikan yang mengambil pekerja dari India, Nepal, Myanmar, Indonesia dan negara lain tidak sepatutnya menanggung kos serta beban pematuhan tambahan bagi menyelesaikan masalah yang bukan berpunca daripada mereka,” tegasnya.

Rajasekaran turut mempersoalkan ketiadaan penilaian impak ekonomi yang bebas mengenai Turap, termasuk kos penggunaan platform, yuran langganan, kos pematuhan, latihan kakitangan serta kos peralihan daripada sistem sedia ada.

Katanya, ketidakjelasan mengenai kos sebenar amat membimbangkan kerana majoriti ahli KLSICCI terdiri daripada PKS yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil selepas berdepan kenaikan kos bahan mentah, tekanan pasca pandemik dan peningkatan kos buruh.

“Jika Turap memperkenalkan satu lagi lapisan kos yang belum dikaji atau didedahkan kepada industri, ramai PKS mungkin tidak mampu bertahan.

“Apabila perniagaan ditutup, ia bukan sahaja menjejaskan pemilik syarikat, malah pekerja, rantaian bekalan serta ekonomi negara secara keseluruhan,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan, landskap pengurusan pekerja asing ketika ini sudah pun melibatkan beberapa sistem termasuk Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS), manakala National Integrated Immigration System (NIISe) dijangka mula beroperasi menjelang 2028.

Menurutnya, kewujudan Turap sebagai satu lagi platform berasingan berisiko mewujudkan pertindihan proses, kekeliruan serta meningkatkan risiko ketidakpatuhan terutama kepada syarikat kecil yang tidak mempunyai jabatan sumber manusia khusus.

“Kami mahu kerajaan menerbitkan pelan integrasi sistem yang jelas supaya majikan memahami fungsi setiap platform, bagaimana ia saling berhubung dan tempoh peralihan yang realistik sebelum sebarang kelulusan dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, KLSICCI menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan Kabinet terhadap Turap sehingga penilaian impak ekonomi dan operasi disiapkan serta dikongsi secara terbuka dengan industri.

“Kami menyokong sistem pengambilan pekerja asing yang lebih telus, cekap dan berintegriti.

“Namun kami tidak boleh menerima satu sistem yang diluluskan sebelum kosnya diketahui, sebelum integrasinya dipastikan dan sebelum keberkesanannya benar-benar dibuktikan.

“Akhirnya, majikan dan pekerja yang akan menanggung kesannya,” katanya.

Rajasekaran turut menggesa Menteri Sumber Manusia mengadakan pertemuan bersama KLSICCI serta wakil komuniti perniagaan bagi membincangkan isu berkenaan sebelum perkara itu dibawa untuk pertimbangan Kabinet. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast