Fuziah mengadakan lawatan kerja ke kilang SDS Food Manufacturing Sdn Bhd di Jalan Kempas Lama, Kempas hari ini.

JOHOR BAHRU – Siapa calon Menteri Besar Johor daripada Pakatan Harapan (PH) jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih lagi menjadi persoalan sehingga kini.

Waalaupun calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor daripada PH, tiada mana-mana pihak yang dapat mengesahkan dakwaan itu.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh ketika ditanya sama ada Maszlee calon Menteri Besar Johor daripada PH, beliau enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

“Saya rasa tak perlu kita umumkan, sebab kalau kat Johor ni, umum siapa pun, akhirnya tak semestinya orang tu jadi, kan?

“Jadi, tak perlu kita umum. Okey? Yang penting, prestasi calon itu bagus,” ujar Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang SDS Food Manufacturing Sdn Bhd di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Terdahulu bekas Menteri Pendidikan itu dikaitkan sebagai ‘poster boy’ pada PRN Johor sekiranya PH memenangi pilihan raya berkenaan.

Namun Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tiada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat setakat ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast