SEGAMAT: “Saya mahu menjadi jurujual Pemanis.”
Itu komitmen yang dizahirkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pemanis, Jalex Lee En Ciang, yang mahu mempromosikan potensi kawasan itu kepada pelabur bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat.
Menurutnya, Pemanis mempunyai pelbagai kelebihan yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, lantaran itu beliau mahu memainkan peranan sebagai “jurujual” yang membawa masuk pelaburan baharu agar lebih ramai anak muda dapat bekerja berhampiran keluarga tanpa perlu berhijrah ke bandar besar.
“Saya mahu menjadi jurujual Pemanis. Tugas saya ialah membawa masuk lebih banyak pelaburan supaya lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan anak-anak muda tidak perlu meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki,” katanya ketika menggariskan lima tekad utama yang akan menjadi fokus perjuangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon berusia 34 tahun itu berkata, usaha menarik pelaburan bukan sekadar mewujudkan pekerjaan, malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.
Selain ekonomi, Jalex berkata, isu kesihatan turut menjadi keutamaan memandangkan Pemanis mempunyai populasi warga emas yang tinggi.

Katanya, hasil pertemuan dengan pengundi sepanjang tempoh berkempen mendapati antara keluhan utama ialah keperluan menambah baik kemudahan kesihatan, termasuk penyediaan ambulans dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
“Pemanis mempunyai ramai warga emas. Kemudahan kesihatan perlu diperkasakan kerana itu antara perkara yang sering dibangkitkan oleh penduduk,” katanya di Bilik Gerakan Utama DUN Pemanis, di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mahu menjadikan sektor agropelancongan sebagai enjin pertumbuhan baharu dengan memperkukuhkan promosi produk ikonik Pemanis seperti durian dan ikan baung, selain membantu usahawan menembusi pasaran eksport.
“Kita sudah mempunyai platform dan produk yang berkualiti. Apa yang perlu dilakukan ialah mempromosikannya dengan lebih agresif, mengembangkan industri pelancongan dan membawa produk tempatan ke pasaran luar negara,” katanya.
Anak jati Johor itu turut berikrar memperluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan pertanian moden bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri serta menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan itu.
Beliau juga berjanji memperjuangkan untuk menaik taraf jalan raya, sistem saliran, projek tebatan banjir, kemudahan asas serta liputan internet berkelajuan tinggi termasuk 5G bagi memastikan pembangunan Pemanis bergerak seiring dengan keperluan rakyat.
“Lima tekad ini adalah pelan tindakan untuk membina Pemanis yang lebih maju, berdaya saing dan menjadi destinasi pilihan pelabur, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh penduduk,” katanya.
Pada kempen kali ini Jalex tampil menggariskan lima tekad utama yang disifatkan sebagai pelan tindakan menyeluruh untuk mentransformasikan Pemanis menjadi kawasan yang lebih maju, berdaya saing dan mesra pelaburan.
Pada PRN Johor kali ini, Jalex yang bertanding sebagai calon nombor 3 berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan.
PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
















