JOHOR BAHRU – Cubaan dua beradik menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai RM6.95 juta menggunakan bot fiber berakhir apabuila ditahan dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Piai, Pontian, Ahad lalu.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia lingkungan 20 dan 40-an itu ditahan pukul 12.36 tengah malam selepas bot dinaiki mereka dipintas pada kedudukan 3.5 batu nautika dari Tanjung Piai.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot menemukan kira-kira 88.2 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.41 juta serta lebih 30,000 biji pil ekstasi bernilai RM2.25 juta yang disembunyikan di bawah tempat duduk tekong dan longgokan pukat.
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada pemeriksaan sebuah Perodua Myvi berwarna kuning di sebuah kediaman di Gelang Patah yang menemukan 787 kartrij vape disyaki mengandungi dadah sintetik baharu dikenali sebagai Piu Piu bernilai RM196,750.
“Kenderaan itu turut disita, manakala bot fiber bersama enjin sangkut yang digunakan dalam kegiatan itu juga dirampas sebagai barang kes,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor di sini hari ini.
Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah, kenderaan, bot dan enjin sangkut dianggarkan RM6.95 juta.
Kama Azri berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, maritim akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di perairan negara.- MalaysiaGazette
















