Ketibaan kumpulan terakhir itu disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bersama Timbalan Menterinya, Marhamah Rosli bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH) di KLIA hari ini.

SEPANG – Seramai 258 jemaah haji merupakan kumpulan penerbangan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 12.20 tengah hari tadi sekali gus menandakan berakhirnya operasi menunaikan haji Malaysia musim 1447H/2026.

Ketibaan kumpulan terakhir itu disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bersama Timbalan Menterinya, Marhamah Rosli bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH).

Zulkifli berkata, sepanjang operasi haji tahun ini berlangsung dengan lancar walaupun berdepan dunia berdepan pelbagai cabaran susulan konflik di Asia Barat dan ketidaktentuan geopolitik global.

“Alhamdulillah 1 Julai ini, semua jemaah haji kita selamat pergi dan pulang dengan baik tanpa sebarang peningkatan kos kepada jemaah. Semua urusan berjalan lancar hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

“Malah, Malaysia turut menerima Anugerah Labbaitum Diamond Award yang mengiktiraf kecemerlangan pengurusan haji negara sebagai antara yang terbaik dalam pengurusan haji di dunia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam sidang media selepas menyambut kepulangan kumpulan terakhir jemaah haji di KLIA hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan petugas haji dan pihak yang terlibat sepanjang operasi terbabit dengan kerjasama kerajaan.

“Jemaah haji kita juga menunjukkan tauladan, contoh yang baik serta berdisplin yang merupakan kekuatan sebenar operasi haji di negara kita.

Zulkifli menambah, TH juga menubuhkan satu jawatankuasa khas berkaitan konflik di Asia Barat bagi memantau serta menangani sebarang isu yang berpotensi menjejaskan operasi haji.

“Jawatankuasa khas ini telah menyediakan pelbagai perancangan dan langkah intervensi bagi memastikan kita sentiasa bersedia mendepani sebarang perubahan dan cabaran. Pendekatan ini akan diteruskan sebagai persediaan menghadapi musim haji akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, TH telah memulakan proses penilaian pasca operasi bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan meskipun pengurusan haji negara menerima pengiktirafan antarabangsa.

“Tahun ini kita sudah mula membuat penilaian sebaik operasi selesai. Kita tidak menunggu lama kerana sentiasa mahu memastikan pengurusan haji Malaysia menjadi model terbaik dan paling efisien di dunia,” katanya.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, pihaknya akan menganjurkan Muzakarah Haji Kebangsaan pada Ogos depan bagi membincangkan isu-isu berkaitan ibadah haji serta cadangan penambahbaikan bagi musim haji akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast