Sampah berlonggok kelihatan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Kangkar Tebrau, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 79.3 peratus isi rumah membuang sisa makanan secara campur sepanjang tahun lalu, manakala hanya 20.7 peratus mengamalkan pengasingan sisa makanan.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, majoriti isi rumah membuang kurang daripada 500 gram makanan seminggu, iaitu 48.2 peratus bagi makanan mentah dan 45.6 peratus bagi makanan diproses atau dimasak.

Secara keseluruhan, pembaziran makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan berada dalam julat 31.9 kilogram hingga97.3 kilogram per kapita setahun, sekali gus menggambarkan skala isu ini di peringkat nasional.

Menurutnya, kajian turut menunjukkan pembaziran makanan adalah lebih ketara bagi makanan diproses atau dimasak berbanding makanan mentah.

Sebanyak 94.1 peratus isi rumah dilaporkan membuang makanan diproses atau dimasak berbanding 88.7 peratus bagi makanan mentah.

Analisis lanjut mengikut jenis makanan menunjukkan bahawa sayur sayuran (29.1%) merupakan kategori makanan mentah yang paling banyak dibazirkan, diikuti buah-buahan (22.4%) dan ikan atau makanan laut (15.0%).

Bagi makanan diproses atau dimasak pula, nasi (16.7%) mencatatkan kadar pembaziran tertinggi, diikuti sayur-sayuran (15.8%) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8%).

Laporan khas mengenai Pembaziran Makanan Isi Rumah di Malaysia ini turut mengenal pasti makanan tamat tempoh(19.3%) merupakan punca utama pembaziran makanan isi rumah.

Faktor lain yang menyumbang kepada pembaziran termasuk penyimpanan lebihan makanan di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku terlalu lama (18.1%), pembelian secara berlebihan (15.2%) dan memasak dalam kuantiti yang berlebihan (15.1%).

Menurut jabatan itu, dalam konteks antarabangsa, corak pembaziran makanan isi rumah di Malaysia didapati secara umumnya sejajar dengan trend global.

Anggaran pembaziran makanan di Malaysia, iaitu antara 31.9 hingga 97.3kilogram per kapita setahun adalah setanding dengan purata global sebanyak 79 kilogram perkapita setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast