Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi Perdana AADK Negeri Sembilan - Foto: Facebook AADK

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menahan 262 individu menerusi Operasi Perdana yang dilaksanakan serentak di empat daerah di negeri itu selama tiga hari bermula 29 Jun hingga 1 Julai lalu.

Operasi yang melibatkan 72 pegawai dan anggota AADK itu dijalankan di daerah Seremban, Jempol, Tampin dan Port Dickson sebagai usaha memperkukuh tindakan membanteras penyalahgunaan dadah.

Hasil operasi tersebut, seramai 221 individu menjalani saringan awal air kencing dan daripada jumlah itu, 195 orang didapati positif pelbagai jenis dadah.

Selain itu, AADK turut berjaya mengesan serta menahan 39 individu yang gagal hadir mengikut syarat jamin bagi tindakan perundangan selanjutnya.

Dalam operasi sama, empat warga asing turut ditahan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam satu serbuan berasingan, AADK menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 45 dan 44 tahun selepas kedua-duanya didapati positif methamphetamine dan ketum.

Pemeriksaan di kediaman pasangan terbabit turut mendapati dua anak mereka yang masing-masing berusia 10 dan 4 tahun berada di rumah dalam keadaan tanpa bekalan elektrik.

Susulan penemuan itu, kes membabitkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan sewajarnya.

Pasangan terbabit bersama anak-anak mereka turut dibawa ke Pejabat AADK untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast