Calon Barisan Nasional (BN) N.18 Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan.

BATU PAHAT – Datuk Zulkurnain Kamisan menyifatkan, sokongan yang diberikan oleh Pas kepada Barisan Nasional (BN) sebagai satu perkembangan positif yang mencerminkan kematangan politik demi mewujudkan kerajaan negeri yang stabil.

Malah, calon BN Sri Medan itu menegaskan, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya, ruang sentiasa terbuka kepada mana-mana parti untuk membantu, tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Menurut beliau, keutamaan ketika ini bukan sekadar memenangi pilihan raya, sebaliknya memastikan kerajaan yang dibentuk mempunyai kestabilan politik bagi merangsang pembangunan dan ekonomi negeri.

“Saya melihat perkara ini dalam sudut yang positif.

“Ini bukan soal perbezaan politik, tetapi bagaimana kita hendak menyediakan sebuah kerajaan yang stabil, khususnya di negeri Johor.

“Kalau hendak mendapatkan ekonomi yang baik dan perkembangan ekonomi yang baik dari tahun ke tahun, kita perlu mendapatkan kestabilan politik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadiran dua pemimpin Pas Batu Pahat dalam Majlis Penyampaian Amanat dan Pelancaran Jentera BN Bahagian Batu Pahat yang dihadiri Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kelmarin.

Mengulas lanjut, Zulkurnain yang lebih mesra disapa dengan panggilan Tok Jun berkata, parti-parti politik kini dilihat semakin matang dalam menentukan keutamaan ketika berdepan pilihan raya.

Katanya, sokongan yang diberikan sama ada secara terbuka atau sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha ke arah membentuk kerajaan yang lebih stabil.

“Sebab itu dengan adanya peranan, mungkin secara langsung atau tidak langsung, menyokong secara terang atau tersembunyi, saya melihatnya sebagai satu perkembangan yang positif,” katanya yang juga merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan.

Beliau turut menegaskan, sepanjang berkhidmat di DUN Sri Medan, beliau tidak pernah membezakan layanan terhadap penyokong mana-mana parti kerana mereka merupakan pengundi dan masyarakat di kawasan tersebut.

“Sebab itu di DUN Sri Medan, kita mengalu-alukan mana-mana parti. Kita tidak pernah membezakan antara parti-parti penyokong kerana mereka juga adalah pengundi dan masyarakat di kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast