Ketua Penerangan RESET Malaysia, Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berucap pada Himpunan RESET Johor di Danga Bay, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam sebagai manifestasi kehendak rakyat negeri yang membuat pertimbangan secara matang dan bebas.

Ketua penerangannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kejayaan memenangi 48 kerusi yang dipertandingkan harus dihormati meskipun memperlihat hakikat yang sukar dinafikan.

Menurut beliau, kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) termasuk di beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat mereka bukan sekadar perubahan angka pilihan raya.

Sebaliknya, ia adalah peringatan bahawa rakyat sentiasa menilai sikap dan pendekatan sesebuah kerajaan.

“Rakyat Johor akhirnya memberikan jawapan mereka di peti undi. Keputusan ini harus dihormati,” ujarnya dalam kenyataan sambil mengucapkan tahniah terhadap kemenangan tersebut.

Wan Ahmad Fayhsal selanjutnya berkata, rakyat Johor tidak menolak sesiapa kerana slogan semata-mata sebaliknya mereka jelas tidak menerima pendekatan politik yang memandang rendah kebijaksanaan pengundi.

Ujar beliau, sepanjang kempen, kepimpinan PH khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih banyak menumpukan tenaga kepada menyerang lawan politik dengan cara-gaya yang cukup angkuh berbanding menjawab persoalan sebenar yang sedang dihadapi rakyat.

Katanya, retorik mengenai `gelombang hijau’ diulang tanpa henti seolah-olah ia boleh menggantikan hujah dan dasar.

“Daripada menawarkan penyelesaian terhadap tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi negeri dan masa depan anak muda, kempen PH lebih dipenuhi dengan label, persepsi dan naratif yang bertujuan menakut-nakutkan pengundi.

“Apabila kepimpinan dilihat semakin jauh daripada denyut nadi rakyat dan lebih ghairah mengurus persepsi daripada menyelesaikan masalah, keyakinan rakyat akan terus terhakis sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, Wawasan memberi jaminan akan terus membantu Perikatan Nasional (PN) dalam menambah baik
pendekatan dan strategi memenangai hati rakyat dalam siri-siri pilihan raya akan datang khususnya di PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast