Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin

JOHOR BAHRU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bukan sekadar kisah menang atau kalah kerusi sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai perubahan corak sokongan rakyat yang perlu diteliti semua parti politik.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, analisis terhadap keputusan pilihan raya itu perlu melangkaui jumlah kerusi dimenangi kerana undi popular, kadar keluar mengundi dan taburan sokongan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai perubahan landskap politik Johor.

“Ramai melihat keputusan PRN Johor 2026 hanya melalui jumlah kerusi yang dimenangi. Hakikatnya, kerusi hanyalah penghujung sebuah cerita.

“Apa yang perlu difahami ialah bagaimana rakyat mengundi dan bagaimana sokongan itu berubah dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya yang lain,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Menurut Danish, perbandingan keputusan PRN Johor 2026 dengan PRN Johor 2022 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperlihatkan beberapa corak perubahan yang signifikan, khususnya melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, BN yang memperoleh 598,224 undi pada PRU15 berjaya meningkatkan sokongan kepada 1,131,130 undi pada PRN Johor 2026 iaitu pertambahan sebanyak 532,906 undi.

Pada masa sama, beliau berkata, PN yang memperoleh 519,661 undi pada PRU15 hanya meraih 102,804 undi pada PRN kali ini, berkurang sebanyak 416,857 undi.

“Sudah tentu kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa semua undi PN berpindah kepada BN. Namun apabila kedua-dua angka ini dilihat bersama, jelas berlaku perubahan sokongan yang besar dalam tempoh kurang empat tahun,” ujarnya.

Mengulas prestasi PH, Danish berkata, gabungan itu sebenarnya mencatat peningkatan undi popular apabila memperoleh 611,855 undi atau 32.6 peratus pada PRN Johor 2026 berbanding 367,525 undi atau 26.41 peratus pada PRN Johor 2022, iaitu pertambahan hampir 244,330 undi.

Bagaimanapun peningkatan itu tidak diterjemahkan kepada pertambahan kerusi apabila PH hanya memenangi lapan kerusi berbanding 12 kerusi pada pilihan raya negeri sebelum ini.

“Inilah realiti sistem pilihan raya first-past-the-post. Undi yang banyak tidak semestinya menghasilkan lebih banyak kerusi kerana kemenangan ditentukan oleh bagaimana undi itu tersebar di setiap DUN,” katanya lagi.

Danish berkata, jika dibandingkan dengan PRU15, PH pernah memperoleh 825,082 undi di Johor menunjukkan masih terdapat kira-kira 213,227 pengundi yang tidak kembali menyokong gabungan itu pada PRN kali ini.

Menurutnya, angka itu memberi petunjuk masih terdapat ruang yang besar untuk PH mendapatkan semula keyakinan kumpulan pengundi berkenaan menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau turut berpandangan, corak sokongan pengundi bukan Melayu kini semakin pelbagai apabila beberapa kawasan menyaksikan majoriti DAP semakin mengecil manakala calon MCA dan MIC di bawah BN menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pilihan raya terdahulu.

“Ini menunjukkan pengundi bukan Melayu tidak lagi bergerak secara seragam. Keputusan mereka dipengaruhi oleh gabungan beberapa faktor seperti calon, isu setempat, kekuatan jentera dan prestasi wakil rakyat,” jelas beliau lagi.

Menurut Danish, faktor calon juga semakin penting apabila beberapa calon yang mempunyai rekod perkhidmatan baik dan aktif bersama masyarakat berjaya mengekalkan sokongan dengan jumlah undi yang besar.

Beliau berkata, kemenangan keadilan di DUN Puteri Wangsa turut wajar diberikan perhatian kerana membuktikan penerimaan terhadap calon, gerak kerja yang konsisten serta jentera yang tersusun masih mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Puteri Wangsa membuktikan calon yang tepat, jentera yang kemas dan gerak kerja yang berterusan masih mampu menentukan keputusan sesuatu pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast