Penduduk, Chandran Vijaya, 67, menunjukkan gambar-gambar kesan limpahan air kumbahan ketika tinjauan MalaysiaGazette di Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Penduduk Taman Purnama, Kempas di sini mendakwa tiada agensi yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menyelenggara sistem kumbahan perumahan itu hingga penduduk dibebani kos pembaikan mencecah ribuan ringgit.

Mereka mendakwa, semakan dengan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati sistem pembentungan di taman berkenaan bukan di bawah seliaan syarikat itu.

Aduan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula berakhir dengan jawapan yang mengecewakan malah mengaitkan kawasan itu dengan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk.

Penduduk, Chandran Vijaya. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

Penduduk, Chandra Vijayan, berkata, dia telah mendapatkan penjelasan daripada beberapa agensi selepas masalah saluran kumbahan yang tersumbat berulang kali berlaku namun masing-masing memberikan jawapan berbeza.

“Saya pergi ke IWK kerana pada mulanya dimaklumkan sistem ini di bawah mereka, tetapi IWK menegaskan ia bukan di bawah seliaan mereka dan mereka tidak boleh mengambil tindakan.

“Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada MBJB selepas membuat aduan melalui SISPAA namun akhirnya kes ditutup dengan alasan tanah kawasan ini di bawah KTMB.

“Sedangkan setiap rumah di sini mempunyai geran individu. Jadi sehingga hari ini kami sendiri tidak tahu siapa sebenarnya bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sekitar kediamannya di Taman Purnama, Kempas hari ini.

Chandran Vijaya menunjukkan gambar-gambar kesan limpahan air kumbahan ketika tinjauan MalaysiaGazette di Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

Menurut Chandra, berdasarkan maklumat yang diperoleh, projek perumahan itu pada asalnya diluluskan menggunakan sistem tangki septik individu sebelum cadangan ditukar kepada sistem pembentungan berpusat.

“Namun status sebenar sistem yang dibina tidak pernah diperjelaskan kepada penduduk,” katanya.

Lurah kumbahan yang pernah mengalami limpahan air kumbahan ketika tinjauan MalaysiaGazette di Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

Akibat ketiadaan pihak yang menyelenggara sistem berkenaan, Chandra berkata, saluran kumbahan tersumbat sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun lalu sehingga memaksanya menanggung sendiri kos pembersihan kira-kira RM2,000 bagi setiap kejadian.

“Masalah ini hanya menjejaskan dua rumah di bahagian paling hujung kerana semua aliran kumbahan akan berkumpul di titik terakhir.

“Saya sudah mengeluarkan hampir RM4,000 dan tidak mungkin boleh terus membayar kos seperti ini setiap kali berlaku sumbatan,” katanya.

Kawasan berbukit menyebabkan air kumbahan melimpah ketika tinjauan MalaysiaGazette di Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

Chandra percaya masalah berpunca daripada saluran ke tangki penapisan yang tidak pernah diselenggara selain kesan kerja pengubahsuaian rumah yang menyebabkan pasir dan batu memasuki sistem pembentungan.

“Biasanya, kontraktor binaan akan letak batu dan pasir dekat belakang rumah sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dibuat. Bila hujan, batu dan pasir ini secara tidak langsung mengalir masuk ke dalam tangki septik hingga tersumbat,” katanya.

Esika Ng menceritakan pengalaman mengalami limpahan air kumbahan semasa ditemubual, ketika tinjauan MalaysiaGazette di Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

Seorang lagi penduduk, Esika Ng, 70, berkata kawasan perumahan itu pernah berdepan pelbagai masalah infrastruktur sejak projek berkenaan dibangunkan pada awal 1990-an.

Menurutnya, beberapa kerja pembaikan pernah dilaksanakan selepas penduduk membuat aduan kepada MBJB sekitar 2018 namun isu berkaitan sistem pembentungan masih belum diselesaikan secara menyeluruh.

Chandran Vijaya dan Esika Ng ditemui ketika tinjauan MalaysiaGazette di Taman Purnama, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

“Saya berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap sistem pembentungan di Taman Purnama bagi memastikan penyelenggaraan berkala dapat dilaksanakan.

“Pihak berkuasa tidak sepatutnya lepas tangan dan bagi mengelakkan penduduk terus menanggung kos membaiki kerosakan yang sepatutnya diuruskan pihak berwajib,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast