KUALA LUMPUR – Dua pemandu kenderaan perdagangan positif dadah ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.
Tangkapan dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Dadah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, seramai 74 pemandu telah menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, dua individu didapati positif dada jenis Methamphetamine serta ganja.
“Seorang individu merupakan pemandu lori timber jinker berusia 31 tahun dan seorang lagi adalah pemandu kereta sewa berumur 41 tahun.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] bagi tujuan ujian malah tindakan lanjut boleh diambil di bawah Seksyen 6(1)(a) atau Seksyen 6(1)(b) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sekiranya individu berkenaan disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan, JPJ akan mengambil tindakan menggantung lesen memandu individu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas lanjut katanya, sebanyak 228 buah kenderaan perdagangan telah diperiksa, dengan 43 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan.
“Hasil operasi itu, sebanyak 75 notis telah dikeluarkan manakala sebuah bas henti-henti telah disita untuk tindakan lanjut.
“MOTAC juga telah memeriksa 36 kenderaan pelancongan dan mengesan satu kes membabitkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong.
“Kes akan disiasat di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992,”jelasnya.

Beliau menambah, JPJ memandang serius isu penyalahgunaan dadah dan tidak akan akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang didapati positif dadah kerana boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette
















