KULAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini dalam proses menilai sebarang isu berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang dilaporkan berlaku sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bagaimanapun menjelaskan, pihaknya masih belum menerima laporan terkini daripada SKMM berhubung perkara tersebut sekali gus tidak dapat memberikan pengesahan sama ada terdapat sebarang kes yang direkodkan atau sebaliknya.
“Minta maaf, saya tak boleh cakap ada atau tak ada kerana setakat ini saya tak terima laporan terkini daripada SKMM. Jadi mungkin soalan itu perlu saya dapat maklumat daripada SKMM, baru lebih sesuai untuk saya jawab,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Muzikal Kalapadam Minnal FM dan Karnival Kempen Internet Selamat di Commune Lifestyle Mall hari ini.
Beliau turut menegaskan, sebarang penilaian atau tindakan berhubung isu berkaitan 3R memerlukan pengesahan serta laporan rasmi daripada SKMM sebagai agensi penguat kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap dakwaan atau aduan ditangani secara teratur berasaskan fakta serta mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dalam pada itu, program Karnival Kempen Internet Selamat yang diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai keselamatan dalam talian, termasuk penggunaan media sosial secara berhemah serta risiko penyebaran maklumat palsu.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif bagi mendidik orang ramai mengenai etika digital dan tanggungjawab sebagai pengguna internet.
“Kerajaan sebelum ini giat memperkukuh usaha menangani penyalahgunaan ruang siber, termasuk kandungan berunsur sensitif 3R yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















