Asri (kanan) menyerahkan borang keahlian kepada Onn Abu Bakar (tengah) dalam program Ramah Mesra Bersama Anak Muda di Senggarang, Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Seramai 60 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Senggarang Timur keluar parti dan mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi.

Bekas Ketua Bersatu Cawangan Senggarang Timur, Mohamad Asri Sebin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mereka memilih untuk menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya berharap mereka yang masih dalam Bersatu dapat berhijrah dan buka minda. Saya pilih kerajaan yang memerintah negara kita dan itu adalah pendirian saya,” katanya.

Beliau yang mengetuai ahli-ahli berkenaan ditemui selepas menyerahkan borang keahlian kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar pada program Ramah Mesra Bersama Anak Muda di Senggarang.

Sementara itu, Onn yang juga calon Pakatan Harapan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang berkata, beliau dimaklumkan kemasukan 60 anggota baharu itu dengan sebahagian lagi masih dalam proses mengisi borang keahlian.

“Kami difahamkan lebih kurang 60 anggota baharu daripada Bersatu menyertai PKR. Ada lagi borang yang belum diisi dan saya berharap dapat menyerahkan borang ini kepada Perdana Menteri esok jika berkesempatan.

“Saya pun tak sangka mereka akan datang malam ini. Kita akan santuni anggota baharu ini dan libatkan mereka dalam program-program PKR di Batu Pahat,” katanya ketika ditemui.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16, Onn berhadapan saingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang DUN Senggarang, Mohd Yusla Ismail dan bekas ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mewakili Perikatan Nasional(PN).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast