KLUANG – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bandar Simpang Renggam pagi ini menyuntik semangat dua calon Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan komitmen sehingga penghujung kempen, Jumaat ini.
Calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nor Hafiz Roslan berkata, kehadiran Anwar seperti memberi momentum baharu untuk terus berkempen dalam masa tidak sampai seminggu ini.
“PMX beri dua pesanan iaitu bekerja bersungguh-sungguh, sentiasa beramal baik dan elakkan permusuhan sepanjang tempoh yang cukup mencabar ini.
“Beliau bagi orang kenal kita, orang faham kita, orang tahu apa yang kita nak bawa. Itu yang saya faham apa yang dimaksudkan dengan kerja sungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui dalam program Anwar bersarapan bersama-sama penduduk dan jentera PH di Warung Pak Din, Kampung Sahri, Simpang Renggam di sini hari ini.
Nor Hafiz berkata, pesanan kedua Anwar terhadapnya dan calon kerusi DUN Layang Layang, Guna Balakrishnan, adalah untuk melakukan amal soleh dan buat kebaikan.
“PMX kata kita datang bukan untuk bermusuh. Kita datang di sini, terutama di bawah Parlimen Simpang Renggam, DUN Machap dan juga di DUN Layang-Layang, adalah untuk berbakti kepada rakyat.
“Kita nak menambah baik, menawarkan perkara yang lebih baik kepada rakyat di bawah Parlimen Simpang Renggam, DUN Machap dan juga DUN Layang-Layang dan juga untuk negeri Johor,” katanya.
Beliau beranggapan bertuah kerana Anwar hadir semasa kempen sedang rancak dijalankan.
Sementara itu, Bala menyifatkan kedatangan Anwar banyak membantunya berkempen yang masuk minggu kedua.
“Setakat ini kempen saya berjalan lancar dan mendapat maklum balas yang baik tetapi saya perlu turun padang lebih banyak selepas ini bermula pengundi dan mendengar maslah mereka,” katanya.
Hafiz akan berdepan pertandingan dua penjuru dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Menteri Besar Johor (BN-UMNO).
Bala berdepan saingan tiga penjuru di kerusi DUN Layang-Layang membabitkan pertembungan dengan Chua Jian Boon (Barisan Nasional-MCA) dan Abd Mutalip Abd Rahim (Perikatan Nasional-Bersatu).- MalaysiaGazette
















