JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan kononnya parti itu mengkhianati mandat rakyat dengan menyertai Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri BN di Johor ditubuhkan lebih awal sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kita tidak mengkhianati sesiapa. Kerajaan Negeri Johor merupakan kerajaan BN yang ditubuhkan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India di Perling Mall malam tadi.

Ahmad Zahid juga berkata, BN hanya mempertahankan mandat yang diberikan rakyat Johor dan mahu memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
“Kestabilan itu menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap Johor,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jelas Ahmad Zahid, kestabilan politik di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri BN di Johor menjadi faktor utama kejayaan negeri itu menarik pelaburan bernilai RM226 bilion.
“Prestasi itu membuktikan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya melonjakkan ekonomi negeri sepanjang empat tahun pentadbiran.
“Selain itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz berjaya mewujudkan kira-kira 80,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Menurutnya, hasil pendapatan negeri juga meningkat dari RM1.8 bilion pada 2024 kepada RM2.6 bilion pada 2025 hasil kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.
“Kestabilan politik menyebabkan pelabur terus yakin datang ke Johor. Sebab itu kita mahu mandat lebih besar supaya kerajaan negeri terus kukuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















