Oleh: Noor Aslinda Abu Seman
BAYANGKAN anda mempunyai akaun pada 10 platform BNPL dan setiap satu menawarkan had pembiayaan sekitar RM5,000. Tanpa perlu beratur di bank atau mengisi pelbagai borang, anda berpotensi mengakses sehingga RM50,000 hanya melalui telefon pintar. Persoalannya, adakah itu satu kemudahan atau sebenarnya satu perangkap yang tidak kita sedari?
Dulu, kalau mahu berhutang, kita perlu ke bank, mengisi borang, menyerahkan pelbagai dokumen dan menunggu keputusan permohonan, tetapi hari ini semuanya jauh lebih mudah kerana hanya dengan beberapa sentuhan pada telefon pintar, kita boleh membeli dahulu dan membayar kemudian.
Tidak hairanlah BNPL berkembang begitu pantas di Malaysia apabila sebanyak 243 juta transaksi bernilai lebih RM21 bilion direkodkan pada tahun 2025 dengan 7.5 juta akaun aktif, sekali gus menunjukkan bahawa kaedah pembayaran ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian ramai rakyat Malaysia.
Hakikatnya, BNPL bukanlah sesuatu yang buruk kerana ia membantu ramai pengguna membeli barang keperluan ketika wang belum mencukupi, mengurus perbelanjaan sehingga tiba hari gaji dan pada masa yang sama membantu peniaga meningkatkan jualan melalui pilihan pembayaran yang lebih fleksibel.
Namun, setiap kemudahan pasti datang bersama risikonya, dan persoalan yang lebih besar ialah sama ada kita benar-benar mengawal BNPL atau sebenarnya BNPL sedang mengubah cara kita membuat keputusan setiap kali ingin membeli sesuatu. Ramai menyangka mereka membeli kerana mempunyai kemampuan kewangan, hakikatnya mereka membeli kerana ansurannya kelihatan kecil, sekali gus mewujudkan perasaan seolah-olah pembelian tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada kewangan mereka.
BNPL tidak menjadikan barang lebih murah. BNPL hanya menjadikan kita berasa barang itu lebih mampu dimiliki. Di sinilah ramai pengguna mula terperangkap kerana apa yang berubah bukan harga barang, tetapi cara kita melihat harga tersebut.
Yang paling membimbangkan bukan apabila seseorang mempunyai satu akaun BNPL, tetapi apabila dia mempunyai komitmen pada pelbagai platform sehingga sukar mengetahui jumlah sebenar hutang yang sedang ditanggung, malah ada yang menggunakan satu platform untuk membayar tunggakan di platform lain sehingga amalan “gali lubang, tutup lubang” berulang dalam bentuk digital.
Jika dilihat daripada cara sistem ini direka, BNPL berjaya menjadikan proses membeli begitu mudah sehingga hampir tiada lagi ruang untuk pengguna berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri sama ada pembelian itu benar-benar perlu atau sekadar memenuhi keinginan yang bersifat sementara. Dari sudut ini, BNPL bukan sekadar produk kewangan, tetapi juga satu sistem yang mempengaruhi gelagat pengguna kerana semakin mudah sesuatu urusan dibuat, semakin tinggi kecenderungan seseorang membuat keputusan secara spontan tanpa memikirkan kesannya pada bulan-bulan berikutnya.
Ironinya, walaupun 98 peratus pengguna mengatakan BNPL mudah diuruskan dan 95 peratus berpuas hati dengan perkhidmatan ini, baki hutang tertunggak telah meningkat kepada RM4.9 bilion. Ini membuktikan sesuatu yang memberikan keselesaan hari ini belum tentu membawa ketenangan pada masa hadapan.
Lebih menarik untuk difikirkan, 73 peratus pengguna BNPL terdiri daripada kumpulan B40 dan majoritinya menggunakan kemudahan ini untuk membeli keperluan harian, sekali gus menunjukkan isu ini turut berkait rapat dengan tekanan kos sara hidup, pendapatan yang terhad dan cabaran mengurus kewangan isi rumah.
Menyedari perkembangan tersebut, kerajaan telah memperkenalkan Akta Kredit Pengguna 2025 bagi mengawal selia penyedia BNPL, manakala kelewatan pembayaran kini boleh direkodkan dalam CTOS dan CCRIS, sekali gus mengingatkan kita walaupun proses meminjam semakin mudah, tanggungjawab untuk membayar tetap tidak berubah.
Pada akhirnya, BNPL bukan musuh dan juga bukan penyelamat kepada semua masalah kewangan kerana manfaat atau mudaratnya bergantung pada cara kita menggunakannya. Sama seperti pisau yang boleh digunakan untuk menyediakan makanan atau melukakan diri jika disalahgunakan.
Justeru, sebelum menekan butang’Buy Now, Pay Later’ tanyakan satu soalan kepada diri sendiri, “Adakah saya membeli kerana saya benar-benar memerlukannya, atau sekadar kerana saya belum perlu membayarnya hari ini?”. Jika jawapannya ialah pilihan kedua, mungkin itulah masanya untuk menutup aplikasi tersebut dan berfikir semula, kerana hutang yang ditangguhkan hari ini tetap akan menunggu kita pada hari esok.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,
ohor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
















