KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan beliau melantik 54 buah syarikat secara rundingan terus bagi melaksanakan projek-projek di bawah Program Janawibawa.
Beliau berkata, perkara itu dinyatakan Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri kepada beliau selaku Menteri Kewangan menerusi surat bertarikh 13 November 2020 iaitu pada hari sama selepas Jemaah Menteri meluluskan program berkenaan.
Ujarnya, surat itu ditandatangani Muhyiddin kerana beliau mengenali tanda tangan Ahli Parlimen Pagoh itu.
Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, maksud pelantikan secara rundingan terus adalah menganugerahkan projek kepada syarikat yang disenaraikan tanpa melalui proses tender dan persaingan tawaran harga dalam kalangan syarikat-syarikat kontraktor yang lain.
“Secara tidak langsung Tan Sri Mahiaddin Yassin (Muhyiddin) mempunyai kepentingan kepada Program Janawibawa kerana beliau yang memberi saranan kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji program pembangunan Bumiputera ini,” ujarnya.
Tengku Zafrul menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi sewaktu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.
Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Bekas Menteri Kewangan itu selanjutnya berkata, berkenaan senarai 54 buah syarikat beserta agihan projek di dalam surat ini, beliau tidak mengetahui bagaimana pihak Pejabat Perdana
Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek berkenaan.
Beliau turut mengesahkan, syarikat-syarikat di dalam dokumen ini juga disenaraikan PMO, bukannya daripada beliau mahupun Kementerian Kewangan.
“Saya juga tiada pengetahuan sama ada syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin mempunyai kepentingan dengan beliau kerana beliau tidak pernah memaklumkan kepada saya,” ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, beliau tidak mengetahui bagaimana Muhyiddin mendapat nama 54 syarikat itu.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















