JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pilihan Rentas Sempadan Johor-Singapura perlu ditubuhkan untuk memastikan perjalanan rentas sempadan lancar.
Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, jawatankuasa itu bertujuan membolehkan isu berkaitan kesesakan, ekonomi rentas sempadan dan hubungan Johor-Singapura dibincangkan secara lebih menyeluruh.
Ketua Pengimbang Johor itu berkata, selain itu, bagi mengatasi masalah tersebut usaha memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan akan dilakukan bagi menyelaras tindakan dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Begitu juga memperluas penggunaan sistem pelepasan imigresen automatik. Termasuk memastikan sistem pengangkutan awam bandar raya dihubungkan dengan Projek Sistem Transit Rapid (RTS).
“Juga mewujudkan sistem penyampaian maklumat yang cekap mengenai kesesakan dan gangguan sistem,” ujar Penyandang kerusi DUN Stulang itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama tiga calon PH yang lain di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum di sini hari ini.
Turut hadir Nor Zulaila Abd Ghani (Tiram), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai) dan Lee Wern Yiing (Johor Jaya).
Sementara itu, Wern Yiing berkata, Pakatan Harapan (PH) sekiranya memerintah mahu menambah baik pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas dengan meningkatkan kekerapan perjalanan, menyediakan maklumat laluan yang lebih jelas serta memastikan ketepatan masa bagi menjadikan perkhidmatan lebih dipercayai.
Selain itu, katanya, tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan kesalinghubungan antara mod pengangkutan termasuk bas, rel dan kenderaan persendirian.

“Kemudahan pejalan kaki juga perlu dipertingkatkan melalui pembinaan laluan yang lebih selamat serta penambahan lintasan pejalan kaki bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.
Calon DUN Perling, Alan Tee Boon Tsong pula berkata, pengurusan banjir antara keutamaan memandangkan beberapa kawasan di Greater Johor Bahru berdepan kejadian itu hampir setiap tahun.
Ujarnya, tidak dinafikan mungkin ada perubahan iklim dan pemanasan global tetapi pada masa sama tidak boleh dinafikan masalah (banjir) berkenaan boleh dielak.

“Saya ambil contoh tahun lepas Mac 2025 berlaku banjir serius di kawasan Perling, keluarga terjejas lebih 1,000 keluarga. Itu sepatutnya boleh dielakkan.
“Sekiranya kami diberikan mandat, kami akan pantau pemaju di Johor Bahru adakah sudah keterlaluan, khususnya di Perling dan Iskandar Puteri. Banjir itu cuma sebab sumbat di parit sahaja, so adakah kontraktor menjalankan tugas mengikut jadual?” katanya. – MalaysiaGazette
















