Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN Kedah) mengesahkan seorang murid Tahun Lima terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di daerah Padang Terap dalam satu kejadian hari ini.

Dalam satu kenyataan, JPN Kedah memaklumkan kejadian berlaku ketika sesi kelas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

Menurut kenyataan itu, murid berkenaan pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum kembali ke sekolah untuk menghadiri kelas KAFA.

“Kejadian berlaku sebelum kelas bermula apabila murid tersebut naik bersendirian ke ruang siling di tingkat berkenaan.

“Murid itu dipercayai cuba menangkap seekor burung merpati yang berada di dalam ruang siling melalui laluan akses hos bomba.

“Maklumat lanjut mengenai kejadian akan dimaklumkan kemudian,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd. Anuar Junoh berkata, pihak polis menerima panggilan daripada seorang guru di sekolah berkenaan kira-kira pukul 4 petang yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa berada di sekolah bagi menghadiri kelas KAFA.

“Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast