KUALA LUMPUR – Pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi bersifat mandatori.
Sebaliknya, caruman skim itu dilaksanakan secara sukarela dan berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Menurutnya, Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Perkeso telah menguatkuasakan skim itu sejak 1 Jun lalu bagi peringkat pertama.
Inisiatif itu memperluaskan jaringan keselamatan sosial negara dengan menyediakan perlindungan di luar waktu bekerja termasuk ketika cuti umum dan hari rehat.
Caruman bagi skim Lindung 24 akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada siling gaji caruman RM6,000.
Dalam kenyataan media, Fahmi turut memaklumkan kerajaan telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur persaraan buat masa ini.
Oleh yang demikian, had umur persaraan bagi penjawat awam kekal pada umur 60 tahun, tambahnya. – MalaysiaGazette
















