KUALA LUMPUR – Sebarang penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam ketika kempen pilihan raya perlu dielakkan supaya tidak timbul persepsi ia memberi kelebihan politik kepada mana-mana pihak.
Selain itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, semua dakwaan dan kritikan politik mestilah dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan bukti serta tidak mengelirukan rakyat.
Kata beliau, pihaknya mengikuti perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin rancak dengan pelbagai naratif politik, dakwaan dan isu yang dibangkitkan oleh semua pihak.
Jelasnya, MCW berpandangan perbezaan pendapat dan kritikan adalah sebahagian daripada demokrasi, namun budaya politik negara perlu bergerak ke arah kempen yang lebih matang berasaskan fakta, dasar, rekod prestasi dan integriti, bukannya sekadar perang persepsi, sentimen ketakutan atau serangan peribadi.
“MCW menegaskan semua parti perlu menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, tambah Jais, MCW menyeru pengundi Johor menilai calon berdasarkan integriti, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan dan komitmen membanteras salah guna kuasa.
Ujar beliau, PRN Johor seharusnya menjadi medan pertandingan idea dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya perlumbaan mencipta persepsi negatif.
“Politik boleh berbeza warna tetapi integriti mesti menjadi prinsip bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















