BATU PAHAT– Impian masyarakat luar bandar untuk mendiami kediaman yang lebih selamat, selesa dan kondusif terus menjadi keutamaan kerajaan menerusi fasa pengukuhan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Bagi tahun 2025, komitmen tinggi KKDW menyaksikan sebanyak 82 buah rumah dibina baharu manakala 188 buah rumah lagi berjaya dibaik pulih bagi memastikan agenda pembasmian kemiskinan sentiasa berada di landasan tepat.
Momentum itu diperkasakan lagi menjelang tahun 2026 dengan sasaran yang lebih dinamik membabitkan 93 inisiatif bina baharu serta 120 projek baik pulih di seluruh negara.
Bagi penerima di Kampung Parit Karjan, Noor Haslinda Jalal, bantuan rumah PPRS disifatkan sebagai satu rezeki besar yang mengubah landskap kehidupan keluarga kecilnya sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya dah tinggal di rumah ni sejak tahun lepas.
“Rumah ni siap dalam masa tiga bulan.
“Saya sempat berpuasa dan berhari raya di rumah ni,” katanya yang bekerja sendiri sebagai tukang jahit.

Katanya lagi, rumahnya itu sangat selesa dan sangat sesuai untuk keluarganya.
“Saya tinggal bersama tiga anak lelaki saya.
“Terima kasih kepada KKDW kerana memilih saya untuk menghuni dan mendapatkan rumah ini.
“Saya tahu sebab ramai yang memohon tapi saya antara yang bertuah untuk dapat rumah ini,” katanya.

Bagi Janiyah Matmin, 51, dan anaknya, Nurul Adilah Rahman, 31, rumah PPRS bukan sekadar tempat berteduh malah dengan reka bentuk yang turut menitikberatkan spesifikasi mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk ruang tandas yang diubah suai demi keselesaan.
“Rumah ini atas nama anak saya Nurul Adilah.
“Saya berterima kasih kerana rumah yang dibina mengikut keperluan kami memandangkan anak saya seorang pesakit angin ahmar.
“Tandas sangat mesra OKU,” katanya yang tinggal bertiga di rumah berkenaan.

“Bila rumah ini siap tahun lepas, kami lega dan syukur sangat, sebabnya tandas sangat memudahkan saya nak bawa anak,” katanya.
Nurul Adilah diserang angin ahmar ekoran kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada tahun 2023.
“Terima kasih KKDW sebab prihatin pada kami,” luah Janiyah yang terharu
Sementara itu, bagi seorang petugas RELA di Kampung Parit Warijo, Othman Md Nasir, 76, impian memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya dan isteri rasa cukup gemira, pada usia macam ni, kami ada rumah yang selesa untuk kami berdua.
“Sebelum ini, kami tinggal di rumah pusaka kelaurga isteri, tak jauh dari sini.
“Bila hujan lebat, rumah kami banjir tapi rumah baharu ini, agak tinggi dan saya berdoa tak akan banjir lagi,” katanya.

“Syukur dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak KKDW yang membantu kami di kampung-kampung macam ni.
“Lepas ini anak dan cucu balik, seronok mereka nak lari-lari, sebab rumah dah batu,” katanya.
Senada dengan kelegaan itu ialah Yunos Mohamood, dari Batu Pahat yang mengakui penantiannya sejak tahun 2019 akhirnya diterima.

“Masa mohon, waktu Covid-19, saya ingat tak dapat langsung.
“Tahun lepas, ada pejabat daerah hubungi kata saya dapat, rasa gembira betullah.
“Dah banyak tahun kan? Saya sangat berterima kasih kepada KKDW bagi rumah bantuan kepada saya.
“Dapat jugalah saya rumah yang selesa. Cukuplah untuk saya seorang,” katanya.
Katanya lagi, sejak berpindah ke rumah baharunya itu, anak-anak saudaranya dating menghias rumahnya.

“Saya belum berkahwin, jadi merekalah yang buatkan rumah ini nampak cantik, kata mereka, duduk seorang pun rumah kena cantik dan bersih,” katanya.
Dengan pelaksanaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang kini menjadi fokus utama bagi memastikan kepantasan dan kecekapan pembinaan, KKDW membuktikan PPRS bukan sekadar sebuah projek perumahan biasa.
Ia adalah pelaburan masa depan jangka panjang yang komprehensif bagi menaikkan taraf hidup, membasmi kemiskinan serta menyuntik sinar kebahagiaan yang selayaknya buat warga luar bandar. – MalaysiaGazette















