Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan telah membuat rundingan pakej pembayaran semula bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low dan delegasi China.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong juga menafikan laporan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) yang menyiarkan berita berhubung dakwaan terbabit.

“Saya menafikan tuduhan terbabit,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Chin Tong mengakui usaha mendapatkan semula baki kira-kira RM20 bilion daripada keseluruhan RM51 bilion kerugian berkaitan skandal 1MDB berdepan cabaran dan berkemungkinan sukar dipulihkan sepenuhnya.

Chin Tong berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, kerajaan setakat ini berjaya mendapatkan semula kira-kira RM31 bilion hasil usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.

Menurut beliau, sekiranya tiada usaha pemulihan dilakukan selepas perubahan pentadbiran pada 2018, keseluruhan jumlah berkenaan akan menjadi beban kerugian yang perlu ditanggung kerajaan.

“Daripada jumlah RM51 bilion itu, selepas usaha pemulihan dilaksanakan, kita sekarang berdepan kos sekitar RM20.1 bilion yang kerajaan rasa agak sukar untuk mendapatkan kembali semuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai implikasi baki kerugian 1MDB terhadap belanjawan negara serta langkah kerajaan memastikan skandal kewangan seumpama itu tidak berulang.

Menurut Chin Tong, skandal 1MDB bukan sahaja memberi kesan daripada segi kerugian kewangan malah turut melibatkan kos peluang apabila dana berkenaan tidak dapat digunakan untuk pembangunan negara serta menjejaskan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan telah mengambil beberapa langkah memperkukuhkan tadbir urus kewangan negara termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, pindaan Akta Audit bagi memperluaskan skop pengauditan Ketua Audit Negara menerusi pendekatan follow the public money selain penggubalan Akta Perolehan Kerajaan.

“Selain itu, kerajaan juga sedang berusaha menggubal Akta Syarikat Milik Kerajaan atau Akta SSO sebagai sebahagian langkah memastikan pengurusan dana awam lebih telus dan berakauntabiliti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8.11 bilion sejak 2017 daripada peruntukan belanja mengurus dan belanja pembangunan bagi memenuhi obligasi kewangan 1MDB.

Katanya, selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, pada Mac 2023 kerajaan terpaksa memperuntukkan sebanyak RM13 bilion daripada belanja pembangunan bagi melunaskan bon 1MDB berjumlah RM3 bilion dan AS$3 bilion yang dijamin kerajaan.

“Jumlah tersebut bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan belanja pembangunan tahun 2023,” katanya.

Kerajaan sebelum ini turut meneruskan usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB termasuk melalui penyelesaian dengan pelbagai pihak yang terlibat dengan dana yang diperoleh digunakan bagi membantu melunaskan obligasi kewangan berkaitan skandal berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast