KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuka pejabat cawangan baharunya di Jalan Sultan Zainal Abidin, di Kuala Terengganu sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada para pendeposit.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, lokasi baharu itu lebih strategik dengan akses jalan raya, terletak di kawasan pusat perniagaan serta menyediakan lebih banyak ruang parkir khas untuk kemudahan pengunjung.
“Kami percaya pelaburan terbaik bukan hanya pada bangunan atau teknologi, tetapi juga usaha membina keyakinan masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, mudah diakses, mesra dan sentiasa mengutamakan pelanggan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Cawangan TH Kuala Terengganu.
Pejabat cawangan premis baharu itu seluas hampir 6,000 kaki persegi itu menyediakan tujuh kaunter perkhidmatan dan menawarkan ruang yang lebih luas, selesa dan kondusif bagi memenuhi keperluan pendeposit yang semakin meningkat.
Dalam pada itu, Mustakim berkata, TH akan terus memperkukuh agenda transformasi digital menerusi aplikasi THiJARI yang kini mencatat peningkatan penggunaan dalam kalangan pendeposit.
Katanya, aplikasi tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan yang lebih mudah, pantas dan selamat selaras dengan keperluan masyarakat masa kini.
Menurut beliau, TH turut memberi penekanan terhadap usaha membudayakan persediaan kewangan lebih awal, konsisten dan terancang menerusi pelbagai inisiatif termasuk simpanan melalui potongan gaji, Direct Debit, program literasi kewangan Cilik-Cilik Dah Celik serta kempen kesedaran menuju istito’ah.
“Usaha ini bertujuan membantu masyarakat membina kemampuan kewangan secara berdisiplin agar hasrat menunaikan ibadah haji dapat direalisasikan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, TH turut memperluaskan capaian perkhidmatan menerusi kaunter bergerak ‘TH Gerak’ yang ditempatkan di lokasi tumpuan ramai bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat, pendidikan kewangan dan urusan berkaitan TH.
Menurut beliau, pendekatan tersebut mencerminkan aspirasi TH untuk terus menjadi rakan strategik masyarakat dalam membina kesejahteraan kewangan umat Islam di Malaysia, di samping mengekalkan kedudukannya sebagai institusi pengurusan haji yang unggul. – MalaysiaGazette
















