KOTA TINGGI – Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Fakharuddin Moslim tidak lemah semangat dan seluruh pasukannya apabila bahan kempennya dirosakkan.
Beliau berkata, sebaliknya perkara itu menguatkan lagi tekadnya dan pasukan untuk membawa politik yang lebih matang, berakhlak dan berteraskan hikmah.
“Sepanjang 14 hari tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, beberapa billboard saya telah dirosakkan. Ada yang dibakar, dikoyakkan, diconteng dan dirosakkan. Bendera-bendera kempen yang dipasang di pelbagai lokasi juga dicabut serta dibuang.
“Saya percaya, perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya diterjemahkan dengan perbuatan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan suasana kebencian.
“Pilihan raya ialah medan untuk rakyat menilai idea, dasar dan tawaran terbaik kepada masyarakat, bukannya medan untuk melakukan ugutan atau perbuatan khianat,” katanya dalam kenyataan.
Menjelang hari pengundian esok, beliau menyeru seluruh pengundi di DUN Pasir Raja agar bersama-sama membuka lembaran baharu.
“Tinggalkan politik lama yang dipenuhi kebencian dan permusuhan. Pilihlah politik yang menyatukan rakyat, menghormati perbezaan dan mengutamakan kebajikan semua.
“Esok, keluarlah mengundi. Gunakan hak anda untuk menentukan masa depan Pasir Raja. Ayuh kita bersama-sama mencipta perubahan,” katanya.- MalaysiaGazette
















