Oleh: Khairul Anuar Abdul Manap
BULI bukan sekadar salah laku disiplin murid. Ia adalah gejala sosial yang memperlihatkan bagaimana kuasa, budaya diam, ketidakseimbangan hubungan sosial, kelemahan kawalan sosial dan kegagalan ekosistem perlindungan membentuk pengalaman hidup kanak-kanak serta remaja. Dalam masyarakat yang semakin kompleks, buli tidak lagi berlaku hanya dalam bentuk fizikal di sekolah, tetapi turut mengambil kira bentuk verbal, sosial, simbolik dan digital.
Dari sudut sosiologi keselamatan, isu buli perlu difahami sebagai risiko sosial. Ia bukan hanya masalah antara pembuli dan mangsa, tetapi masalah struktur yang melibatkan keluarga, sekolah, komuniti, media, institusi dasar dan budaya
masyarakat. Apabila buli dianggap sekadar “budak-budak bergurau”, “adat membesar” atau “cara mendisiplinkan diri”, masyarakat sebenarnya sedang menormalisasi kekerasan sosial yang boleh diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Kesedaran buli perlu bergerak daripada kempen bermusim kepada pembinaan ekosistem keselamatan sosial. Keselamatan kanak-kanak bukan hanya bermaksud ketiadaan kecederaan fizikal, tetapi kewujudan ruang pembelajaran yang bebas daripada penghinaan, peminggiran, ancaman sosial dan budaya takut. Perkembangan isu buli di Malaysia antara tahun 2024 hingga 2026 menunjukkan bahawa masalah ini semakin mendapat perhatian nasional.
Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan Malaysia, kes buli di sekolah meningkat daripada 6,528 kes pada tahun 2023 kepada 7,681 kes pada tahun 2024. Angka tahun 2024 ini merangkumi 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah (Astro Awani, 2025).
Data-data ini penting kerana menunjukkan bahawa buli bukan lagi isu kecil yang boleh diselesaikan melalui nasihat disiplin semata-mata. Jumlah kes yang lebih tinggi di sekolah menengah memperlihatkan bahawa fasa remaja, budaya rakan
sebaya, hierarki tidak formal, pengaruh kumpulan dan ruang digital turut membentuk corak buli. Pada masa yang sama, kewujudan kes di sekolah rendah mengingatkan kita bahawa pendidikan empati, adab sosial dan keselamatan komuniti perlu
bermula lebih awal.
Pada tahun 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia merekodkan 2,889 kes salah laku buli, iaitu 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah. Penurunan ini boleh dibaca sebagai perkembangan positif, namun ia tidak wajar difahami secara terlalu mudah. Dalam isu sosial, penurunan statistik tidak semestinya bermaksud masalah telah selesai. Ia boleh berkait dengan peningkatan pemantauan, perubahan mekanisme pelaporan, keberkesanan intervensi atau kemungkinan masih wujud kes yang tidak dilaporkan.
Memasuki tahun 2026, wacana antibuli di Malaysia menjadi lebih tersusun melalui penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 [Akta 876] dan pelancaran Tribunal Antibuli pada 16 Jun 2026. Tribunal ini diwujudkan sebagai mekanisme khusus untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan. Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi sekiranya budaya masyarakat masih memandang ringan terhadap perlakuan menghina, mengejek, memalukan dan menindas orang lain.
Dalam kerangka sosiologi keselamatan, buli perlu dilihat sebagai ancaman terhadap kesejahteraan sosial. Sekolah sepatutnya menjadi ruang pembelajaran, pembentukan sahsiah dan pembangunan potensi. Namun, apabila sekolah menjadi
tempat yang menakutkan, maka berlaku gangguan terhadap fungsi sosial institusi pendidikan.
Buli juga berkait rapat dengan proses sosialisasi. Kanak-kanak dan remaja belajar tentang kuasa, hormat, empati, tanggungjawab dan batas sosial melalui keluarga, sekolah, rakan sebaya, media dan komuniti. Dalam kajian berkaitan perlindungan kanak-kanak, sosialisasi formal dan tidak formal dilihat penting dalam membentuk keupayaan pekerja komuniti.
Manakala cabaran sosio-budaya seperti penerimaan keluarga, stigma sosial dan tahap kesedaran rendah sering menjadi halangan kepada intervensi sosial. Kajian tersebut juga menegaskan bahawa dimensi sosialisasi, cabaran sosio-budaya dan strategi amalan terbaik memberi sumbangan kepada bidang sosiologi keselamatan dan pembangunan di Malaysia.
Kerangka ini relevan untuk memahami isu buli. Ada keluarga yang malu membuat laporan kerana takut anak dilabel lemah. Ada sekolah yang bimbang reputasi tercemar. Ada komuniti yang menganggap buli sebagai perkara biasa. Ada mangsa yang memilih diam kerana tidak yakin struktur sosial di sekelilingnya mampu melindungi mereka. Budaya diam inilah yang sering mengekalkan kuasa pembuli dan melemahkan mangsa.
Maka, guru, ibu bapa, kaunselor, warden asrama, pemimpin pelajar, pekerja komuniti dan NGO perlu berperanan sebagai agen sosialisasi keselamatan. Mereka bukan sekadar memberi nasihat, tetapi membentuk norma sosial tentang apa yang boleh diterima dan apa yang mesti ditolak dalam kehidupan bersama. Berdasarkan isu buli yang semakin membarah dalam masyarakat, beberapa cadangan perlu diberikan perhatian oleh pelbagai pihak untuk bersama-sama mewujudkan ekosistem yang selamat bagi perlindungan kanak-kanak.
Pertama, pendidikan manusiawi perlu dimulakan sejak awal. Anak-anak perlu diajar bahawa kekuatan bukan bermaksud menguasai orang lain, tetapi kemampuan menjaga maruah diri dan orang lain. Pendidikan adab berbeza pandangan, kawalan
bahasa, penggunaan media sosial secara beretika dan keberanian melaporkan salah laku perlu menjadi budaya sekolah dan keluarga.
Kedua, sekolah perlu menyediakan sistem pelaporan yang selamat, dipercayai dan tidak menghukum mangsa. Saluran aduan perlu jelas, identiti mangsa perlu dilindungi dan tindakan susulan perlu konsisten.
Ketiga, pendekatan terhadap pembuli perlu bersifat pembetulan sosial, bukan semata-mata hukuman. Pembuli perlu dipertanggungjawabkan, tetapi pada masa yang sama perlu dibimbing untuk memahami kesan sosial perbuatannya terhadap mangsa, sekolah dan komuniti.
Keempat, keluarga perlu menjadi ruang pertama yang selamat untuk anak bercerita. Anak yang didengar lebih mudah mendapatkan bantuan. Anak yang tidak didengar mungkin menyimpan pengalaman sosial yang menyakitkan atau belajar bahawa kekerasan ialah cara memperoleh kuasa.
Kelima, komuniti dan NGO perlu menjadi rakan strategik sekolah. Isu buli memerlukan program berterusan, dialog komuniti, latihan ibu bapa, advokasi keluarga dan pemantauan sosial yang tidak bersifat bermusim.
Harapan kita bukan sekadar supaya kes buli menurun dalam statistik, tetapi supaya budaya masyarakat berubah. Kita mahu anak-anak membesar dalam suasana yang mengajar keberanian tanpa kekerasan, disiplin tanpa penghinaan dan kepimpinan
tanpa penindasan. Dalam konteks pembangunan negara, isu buli tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian dan ketahanan keluarga.
Keluarga yang sejahtera membentuk anak yang lebih memahami batas sosial, lebih menghormati orang lain dan lebih mampu
hidup dalam komuniti yang beradab. Sebaliknya, keluarga yang rapuh dari segi komunikasi, kasih sayang, kawalan sosial dan teladan nilai boleh menjadi ruang awal terbentuknya budaya dominasi, penghinaan dan kekerasan.
Maka, melawan buli bukan sekadar tugas sekolah. Ia adalah agenda keselamatan sosial, pembangunan manusia, kelestarian komuniti dan ketahanan keluarga. Apabila keluarga kuat, sekolah lebih selamat. Apabila sekolah selamat, komuniti lebih sejahtera. Apabila komuniti sejahtera, negara membangun dengan jiwa yang lebih manusiawi. Dalam setiap struktur, ada manusia. Dalam setiap manusia, ada potensi perubahan.
Penulis adalah Calon PhD Pengajian Kepimpinan
Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.
















