JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 merupakan satu amanah berat yang perlu dipikul oleh setiap wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat negeri itu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan meraih majoriti lebih dua pertiga itu bukanlah penamat kepada sebuah perjuangan politik, tetapi merupakan titik permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar demi membela nasib rakyat.
“Saya ingin mengingatkan semua calon BN yang berjaya memenangi kerusi pada pilihan raya kali ini supaya sentiasa berpijak di bumi yang nyata.
“Kepada semua calon BN yang telah dipilih, kemenangan ini bukan penghujung perjuangan sebaliknya permulaan kepada amanah yang lebih besar.
“Berkhidmatlah dengan penuh rendah hati, dekatilah rakyat dan bekerjalah tanpa jemu demi memastikan Johor terus maju, makmur dan mendapat lebih banyak kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan kepada seluruh pengundi Bangsa Johor kerana memberikan mandat yang begitu besar kepada BN untuk kembali menerajui kerajaan negeri.
“Mandat tersebut menjadi bukti rakyat Johor mahukan sebuah pentadbiran yang stabil, berwibawa serta mampu meneruskan agenda pembangunan negeri dengan berkesan.
“Peranan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berjaya menyatukan seluruh kekuatan parti komponen serta rakan sekutu (Friends of BN) sehingga jentera parti dapat digerakkan dengan mantap di semua peringkat.
“Tidak dilupakan, penghargaan khas turut diberikan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menerajui jentera negeri dengan penuh dedikasi, disokong oleh rekod pentadbiran kerajaan negeri yang cemerlang serta dekat di hati rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry memberi jaminan BN akan terus mengekalkan pendekatan politik yang sederhana, stabil dan inklusif dengan menjadi sebuah kerajaan yang adil untuk seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik.
PRN Johor menyaksikan BN menang bergaya dengan 48 kerusi berbanding PRN lalu hanya memperoleh 40 kerusi daripada 56 kerusi. – MalaysiaGazette
















