JOHOR BAHRU – Wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 perlu menunaikan janji yang dibuat kepada pengundi di kawasan mereka, kata Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah.
Beliau berkata, parti itu perlu membalas kepercayaan pengundi yang diberikan kepada parti dan Barisan Nasional (BN) terutama dengan kemenangan Setiausaha MIC negeri, R. Kumaran yang berjaya merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu daripada penyandangnya, Chiong Sen Sern dari Pakatan Harapan (PH).
“Ini semua adalah atas budi baik semua pengundi-pengundi yang ingin memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan saya yakin dan percaya bahawa dengan kemenangan ini sudah tentu wakil rakyat yang baru kita calonkan ini dan telah menang pun akan menjalankan tugas dengan baik.
“Semua apa-apa yang dia janji perlu dia menepati janji dan jangan menipu pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Keputusan rasmi PRN Johor malam tadi menyaksi MIC menepati sasaran apabila berjaya mempertahankan dan merampas kesemua empat kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Selain Bukit Batu, tiga kerusi DUN yang dimenangi parti itu ialah Kemelah, Kahang dan Perling .
Di DUN Kemelah, K Raven Kumar yang berpindah daripada kerusi Tenggaroh berjaya menewaskan Afif Hamid (Pakatan Harapan) dan Uzzair Ismail (Perikatan Nasional) dengan majoriti 3,838 undi.
Bagi DUN Kahang, V Rugendran pula mencatat kemenangan bergaya dengan majoriti 12,013 undi selepas menewaskan Mohd Sabri Abd Kadir (PH) dan Mazlan Bujang (PN).
Di DUN Perling, P Pannir Selvam menewaskan Alan Tee Boon Tsong (DAP) dan Boo Wei Han daripada Parti Bersama.
Mengulas lanjut, Murugiah yang juga Pengarah Pilihan Raya DUN Bukit Batu berkata, Kumaran sebagai wakil rakyat baharu akan menunaikan janji beliau dengan mencari idea untuk membawa pembangunan di kawasan itu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Kumaran dan beliau perlu cari jalan bagaimana untuk membangunkan kawasan Bukit Batu,” katanya. – MalaysiaGazette
















