Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mengumumkan menarik diri daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun beliau memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional mewakili MCA, John Siow yang diebut-sebut bertanding di kawasan berkenaan.

Kerusi DUN Chennah disandang oleh  Pengerusi DAP, Anthony Loke namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini belum diketahui sama ada beliau bertanding atau tidak.

Albert berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang disusuli perbincangan mengenai hala tuju menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, beliau yakin John Siow merupakan calon yang berjiwa rakyat serta mempunyai kredibiliti untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat di DUN Chennah.

“Saya telah memaklumkan kepada John Siow bahawa saya akan berdiri di sebelahnya ketika hari penamaan calon pada 18 Julai ini.

“Saya juga berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk membantu BN menggulingkan Anthony Loke di DUN Chennah dan menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Albert Tei turut berjanji kepada Ka Siong untuk membantu berkempen bagi semua calon BN sepanjang tempoh kempen bermula 18 hingga 31 Julai depan.

Beliau berkata, kempen itu akan digunakan bagi menyampaikan pandangannya berhubung prestasi kepimpinan PH khususnya DAP, kepada masyarakat di Negeri Sembilan.

Sebelum ini media melaporkan Albert tidak menolak untuk bertanding PRN Negeri Sembilan kerana rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial mengharapkan demikian.

Beliau turut menyasarkan untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang oleh Anthony.

Selain itu, beliau memaklumkan berminat menyertai parti daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah pun berbincang dengan pucuk pimpinan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast