Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika hadir pada perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor menegur Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) selepas membuat kenyataan sinis berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Teguran itu dibuat selepas Mohd Sany mengucapkan tahniah dan takziah secara berseloroh kepada parti-parti politik susulan keputusan PRN Johor sehingga mencetuskan reaksi dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Perikatan Nasional, Pas. Takziah kepada BN… eh, terbalik. Tahniah kepada BN, takziah kepada Perikatan Nasional dan Pas,” katanya ketika celahan dalam sesi soalan lisan, hari ini.

Kenyataan itu menyebabkan suasana Dewan menjadi riuh sebelum Ramli segera campur tangan dan mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat.

“Sebentar, Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) jelas, jangan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati dalam kalangan ahli Parlimen.

“Yang Berhormat yang lain itu tolong diam sekejap. Saya sudah beri amaran. Saya berharap jangan buat, kesabaran itu ada had,” katanya sebelum meminta menteri meneruskan sesi menjawab soalan.

Perkara itu berlaku ketika Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bangun untuk menjawab soalan asal Mohd Sany yang ingin tahu menyatakan apakah langkah konkrit Kerajaan bagi mengatasi kekurangan kolej kediaman sehingga memaksa ramai pelajar menyewa di luar kampus dengan kos yang tinggi.

“Saya tidak berhasrat untuk menjawab soalan politik kerana tumpu kepada soalan asal. Apapun terima kasih atas apa yang disuarakan,” jawab Zambry.

Persidangan kemudian diteruskan seperti biasa selepas teguran tersebut.

Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas berjaya mengekalkan penguasaan di negeri itu dengan memperoleh 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) berdepan kekalahan teruk apabila gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Keputusan tersebut menyaksikan BN kembali mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa politik utama di Johor, manakala prestasi PN yang merosot mencetuskan persoalan terhadap kekuatan gabungan itu dalam menghadapi persaingan politik negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast