KUALA LUMPUR – Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pasir Puteh, Kelantan bukan hanya akan berfungsi sebagai hab kemudahan pengangkutan sebaliknya kerajaan Pusat merancang untuk membangunkan kawasan sekitarnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah menjelaskan, stesen ECRL Pasir Putih dirancang menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor logistik, industri hiliran dan aktiviti ekonomi bernilai tambah.
“Perancangan ini dirangka secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL) yang disediakan oleh PLANMalaysia.
“Melalui pelan itu, Stesen Pasir Puteh dikenal pasti sebagai stesen penumpang serta kargo dan logistik,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kedudukan stesen yang berhampiran Tok Bali Supply Base memberi kelebihan kepada Pasir Puteh untuk berkembang sebagai hab logistik yang menghubungkan kemudahan rel dengan pelabuhan.
Katanya, sinergi tersebut berpotensi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, Mohd Shahar berkata, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sedang melaksanakan kajian bagi memperkukuh rantaian bekalan dan rantaian nilai sektor makanan untuk menjadikan Pantai Timur sebagai hab pengeluaran makanan negara.
Menurutnya, antara cadangan yang sedang diteliti ialah pembangunan Collection, Processing and Packaging Centre (CPPC) berhampiran stesen ECRL bagi memperluaskan akses produk tempatan ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tahun 2026, kerajaan telah meluluskan 46 projek pembangunan di Parlimen Pasir Puteh melibatkan peruntukan berjumlah RM207.2 juta.
“Antara projek yang berkaitan ialah pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur kawasan industri di Cherang Tuli, Pasir Puteh yang akan menyokong aktiviti industri hiliran berhampiran stesen kargo ECRL,” katanya. – MalaysiaGazette
















