KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak bercadang memperkenalkan tawaran haji khas mengikut kategori tertentu termasuk kepada pesara wajib yang menerima bayaran gratuiti, bagi memastikan sistem giliran sedia ada kekal adil dan saksama.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, tawaran haji ketika ini dibuat berdasarkan sistem giliran berasaskan prinsip daftar dahulu didahulukan selaras dengan kuota haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Menurut beliau, pengenalan kategori tawaran khas berpotensi menjejaskan sistem giliran sedia ada serta memberi kesan kepada pendeposit lain yang telah lama menunggu giliran.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusan giliran haji yang diamalkan oleh Tabung Haji sejak sekian lama.
“Sehubungan itu, Tabung Haji tidak melaksanakan tawaran haji khas mengikut kategori tertentu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan tawaran Haji Khas kepada pesara wajib yang mempunyai kemampuan kewangan namun masih perlu menunggu lama sehingga berisiko tidak sempat menunaikan ibadah haji.
Marhamah berkata, kewajipan menunaikan haji tertakluk kepada konsep istitoah iaitu kemampuan dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan perjalanan serta memperoleh kuota dan kebenaran daripada Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, setiap pendeposit yang mendaftar haji akan dimaklumkan tahun giliran masing-masing dan digalakkan membuat persediaan awal meliputi kewangan, kesihatan serta ilmu berkaitan ibadah haji.
“Bagi memastikan bakal jemaah mempunyai tahap kesiapsiagaan lebih baik, Tabung Haji menetapkan syarat minimum simpanan RM15,000 sebelum surat tawaran haji dikeluarkan kepada bakal jemaah dalam giliran bermula musim haji tahun ini.
“Jumlah itu merupakan penanda aras kesiapsiagaan kewangan walaupun kos sebenar menunaikan haji bagi musim tersebut adalah RM33,300,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendeposit yang belum tiba giliran masih boleh mengemukakan rayuan haji untuk dipertimbangkan berdasarkan merit, syarat serta keutamaan yang ditetapkan Tabung Haji.
Katanya, tiga kategori diberikan keutamaan dalam pertimbangan rayuan iaitu mahram kepada jemaah terpilih, pengiring kepada bakal haji lanjut usia berumur 75 tahun ke atas yang terpilih serta pengiring kepada orang kurang upaya (OKU) yang telah terpilih.
Tambah beliau, antara kriteria merit lain yang diambil kira termasuk tempoh pendaftaran haji, purata simpanan lima tahun, faktor umur, kekerapan rayuan serta kehadiran kursus haji.
“Keutamaan rayuan diberikan kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan haji. Kelulusan pula tertakluk kepada merit, kuota haji yang diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi serta bayaran kos haji penuh yang ditetapkan bagi musim haji berkenaan,” katanya.
Marhamah dalam pada itu berkata, Malaysia memperoleh 33,600 jemaah dan sebarang kuota tambahan adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi bagaimanapun TH akan terus mengemukakan permohonan tambahan setiap tahun demi memenuhi permintaan rakyat.
Menjawab mengenai penetapan simpanan minimum RM15,000 oleh TH sebelum surat tawaran haji dikeluarkan berjaya, Marhamah berkata langkah itu bagi mengurangkan kadar penangguhan jemaah kepada 18 peratus berbanding sekitar 50 peratus pada musim haji sebelumnya.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata, syarat tersebut bukan bertujuan menyukarkan atau menafikan peluang pendeposit menunaikan ibadah haji, sebaliknya bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah selaras konsep istitoah.
Menurut beliau, jumlah simpanan minimum itu ditetapkan berdasarkan kadar bayaran haji terendah bagi kumpulan B40, walaupun kos sebenar menunaikan haji bagi musim lalu adalah RM33,300.
“Syarat ini yang diperkenalkan sejak musim haji ini, ternyata berkesan bilamana kadar penangguhan tawaran haji berjaya dikurangkan kepada 18 peratus berbanding sekitar 50 peratus pada musim haji yang lepas.
“Penurunan ini menunjukkan bahawa tahap simpanan merupakan indikator penting dalam menentukan kesiapsiagaan sebenar bakal haji untuk menerima tawaran dan menunaikan ibadah haji pada tahun giliran haji,” katanya menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara).
Katanya, TH turut memberi peringatan awal kepada bakal haji sehingga dua tahun sebelum tahun giliran bagi memberi ruang membuat persediaan kewangan, kesihatan dan kecergasan. – MalaysiaGazette
















