KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pihak yang terus mempersoalkan harga minyak negara ini supaya membuat perbandingan secara tepat, bukan dengan negara-negara yang mempunyai struktur ekonomi berbeza.
Beliau berkata, Malaysia perlu dibandingkan dengan negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), bukannya negara yang bergantung sepenuhnya kepada import bahan api.
Menurut beliau, fakta menunjukkan harga petrol di Malaysia ketika ini masih lebih rendah berbanding negara pengeluar minyak utama berkenaan.
“Jangan kita banding dengan negara yang bukan pengeluar minyak, yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Saudi.
“Harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu adalah fakta yang pertama yang harus diingat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berhubung isu harga minyak dan langkah kerajaan menangani tekanan ekonomi akibat krisis global.
Dalam sesi sama, Anwar berkata, sebelum ini beliau pernah memberi komitmen bahawa harga minyak Malaysia akan lebih rendah berbanding Arab Saudi dan perkara itu telah dilaksanakan.
Katanya, ketika kerajaan menurunkan harga minyak, kadar petrol di Arab Saudi ketika itu sekitar 50 sen seliter, namun kini harga di Malaysia pada paras RM1.99 seliter masih jauh lebih rendah berbanding Arab Saudi yang melebihi RM2.40 seliter.
“Kalau dikatakan saya janji dulu, minyak harus lebih rendah daripada Arab Saudi, sudah ditunaikan,” jelasnya.
Beliau berkata, kritikan yang hanya memfokuskan harga minyak tanpa mengambil kira jumlah keseluruhan bantuan kerajaan adalah gambaran yang tidak lengkap.
Menurut Anwar, kerajaan ketika ini menanggung jumlah bantuan dan subsidi yang jauh lebih besar termasuk STR, SARA, subsidi RON95, subsidi diesel serta bantuan kepada sektor ekonomi.
“Keseluruhannya bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya kenyataan. Tetapi saya tidak mahu bandingkan kerana keadaan itu mungkin berbeza dan pendapatan negara pun jauh lebih berkurangan daripada sekarang,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar mencabar pihak yang mempunyai cadangan lebih baik mengenai mekanisme penurunan harga minyak supaya tampil mengemukakannya, bukannya sekadar membuat dakwaan.
“Kalau Yang Berhormat Hulu Terengganu merasakan ada cadangan lain tentang bagaimana boleh turunkan harga, saya boleh timbangkan, saya tidak ada masalah.
“Saya patut dengar dan saya setuju,” tambah Anwar.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah mendakwa mempunyai semua formula sempurna dalam mengurus ekonomi, sebaliknya sentiasa membuka ruang kepada pandangan daripada pelbagai pihak termasuk industri, pekebun dan rakyat.
Katanya, pendekatan itu penting kerana keadaan ekonomi sentiasa berubah dan kerajaan perlu menyesuaikan dasar mengikut keperluan semasa.
“Saya tidak pernah mengatakankita punyai semua ubatnya mujarab dalam ekonomi. Kita harus dengar dan kita ubah suai di mana yang mampu,” katanya.
Dalam nada tegas, Anwar berkata, rakyat kini lebih memerlukan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi berbanding politik yang tidak berkesudahan.
“Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat juga mahu jangan kita hanya politik sepanjang masa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, semua pihak supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukan masing-masing kerana kuasa akhirnya tetap ditentukan oleh rakyat.
“Jangan masing-masing terlalu yakin. Saya pun tidak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin. Kita tawakal kepada Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















